Selasa, 2 April 2019 | 6:18pm

TheLorry kumpul dana RM23.9 juta kukuh operasi serantau

KUALA LUMPUR: Syarikat pemula niaga logistik, TheLorry, mengumpul AS$5.85 juta (RM23.9 juta) dalam pendanaan Siri B untuk mengukuhkan operasinya di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Pendanaan kali ini diketuai oleh FirstFloor Capital bersama PNB-INSPiRE Ethical Fund I, Cradle Seed Ventures, Axiata Digital Innovation dan pelabur sedia ada, SPH Ventures.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif TheLorry, Nadhir Ashafiq, berkata perolehan dana itu bukan sahaja akan digunakan untuk mengukuhkan kedudukannya yang beroperasi di empat pasaran seluruh Asia Tenggara, malah untuk membangunkan dan meningkatkan persepsi pemandu lori dan trak dalam komuniti masing-masing.

"Terdapat banyak nilai dalam pemanduan lori dan trak yang masih belum disedari dan dihargai. Kami mahu menjadi ejen perubahan dalam meningkatkan status dan pendapatan pemandu lori dan trak di rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak pusingan pendanaan Siri A pada 2016, TheLorry telah banyak berkembang dan kini menjana keuntungan di Malaysia dan Singapura.

Ia berkembang ke Thailand dan Indonesia pada 2018 dan melihat pertumbuhan menggalakkan dalam operasinya sejak dilancarkan.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan, Goh Chee Hau, berkata peningkatan ekosistem yang dibangunkan oleh TheLorry akan terus menurunkan kos logistik pelanggannya.

"Menerusi pengoptimuman yang dilakukan melalui teknologi, kami mengurangkan kapasiti yang tidak dimanfaatkan dan seterusnya memperbaiki kecekapan pemandu. Kami sudah melihat hasil penjimatan kos kepada pelanggan kami,” katanya.

Ditubuhkan pada September 2014, TheLorry mengendalikan platform logistik yang menghubungkan pelanggan individu dan korporat kepada beribu-ribu pemilik lori, trak dan van dalam pangkalan data mereka di seluruh Asia Tenggara.

Platform ini menyediakan penyelesaian pemindahan rumah dan perabot yang telus, selamat dan boleh dipercayai kepada pelanggan masing-masing. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X