Khamis, 4 April 2019 | 4:32pm
Khidmat penghantaran makanan ‘Bungkus Honestbee’. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Honestbee lancar perkhidmatan penghantaran makanan halal

KUALA LUMPUR: Peneraju perkhidmatan penghantaran makanan di Asia, honestbee melancarkan ‘Bungkus by honestbee’, penghantar makanan pertama yang menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengurus Negara Malaysia honestbee, Afzan Lutfi, berkata pelancaran ‘Bungkus by honestbee’ ini berikutan timbulnya kekhuatiran mengenai garis panduan yang betul berkenaan mengenai kaedah memantau perkhidmatan penghantaran makanan secara keseluruhan.

“Untuk mendapatkan makanan halal daripada restoran halal sangat mudah namun untuk untuk memberikan perkhidmatan halal untuk makanan halal masih tiada dalam pasaran tempatan.

“Kita lihat di mana terdapat risiko apabila penghantar makanan dari restoran tidak memiliki sijil halal dan dalam masa sama perlu mengambil makanan daripada restoran tidak halal dan menghantar makanan kepada pelanggan menggunakan beg yang sama.

“Ini adalah cabaran terbesar yang perlu dihadapi industri makanan halal di Malaysia,” katanya pada sidang media sempena pelancaran itu di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Naib Presiden Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Hanisofian Alias bersempena dengan Persidangan Halal Sedunia (WHC) 2019.

Penghantaran makanan halal tidak pernah dilaksanakan di Malaysia dan dengan itu, ‘Bungkus by honestbee’ mengambil inisiatif ini untuk bekerjasama dengan JAKIM dan HDC menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan halal.

Ia sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna Islam di negara ini ketika membuat tempahan makanan secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Afzan, berkata ketika ini, ‘Bungkus by honestbee’ dengan slogan Makan Puas Puas Tanpa Was Was mempunyai 1,000 penghantar makanan dengan liputan penghantaran sekitar Kuala Lumpur dan Johor.

“Menjelang penghujung tahun ini, kita sasarkan liputan penghantaran makanan itu dapat diperluaskan ke seluruh Malaysia terutama bandar besar,” katanya.

Berita Harian X