Selasa, 9 April 2019 | 6:30pm

PCG, Dow jalin usaha sama imbangi kesan karbon

KUALA LUMPUR: Firma multinasional kimia Amerika Syarikat (AS), Dow memeterai perjanjian kerjasama dengan PETRONAS Chemicals Glycols, sebuah anak syarikat PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG), bagi projek karbon di kemudahan pengeluaran (EO) etilena oksida berskala dunia PETRONAS.

Secara bersama, Dow dan PETRONAS Chemicals Glycols komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dari kilang EO PETRONAS Chemicals Glycols.

EO adalah salah satu bahan mentah kimia terpenting dunia, yang menghasilkan pengeluaran produk pengguna termasuk tekstil, bahan pencuci, penebat dan banyak lagi.

PETRONAS Chemicals Glycols mengurangkan kos operasinya di kilang EO terletak di Kertih, Terengganu apabila menggunakan pemangkin proprietari EO Dow berprestasi lebih tinggi.

Sebagai sebahagian projek karbon, Dow dan PETRONAS Chemicals Glycols akan bekerjasama untuk mengira dan mendapatkan pengesahan pihak ketiga mengenai manfaat iklam menggunakan kaedah Rangka Kerja Penyelesaian Iklim Dow.

Ini akan membantu mewujudkan warisan iklim yang positif dan mengimbangi kesan karbon.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah, berkata penyertaan syarikat dalam projek karbon itu adalah sejajar dengan komitmennya ke arah menambah baik kecekapan operasi, sambil mengurangkan kesan alam sekitar.

“Kami telah menyaksikan hasil lebih baik daripada perubahan dalam pemangkin, bukan hanya dari segi kecemerlangan operasi disebabkan oleh pengeluaran lebih tinggi, malah juga dari segi penjimatan kos daripada penggunaan tenaga yang dikurangkan.

“Kami berazam untuk terus meminimumkan impak kepada alam sekitar dengan menggunakan amalan terbaik untuk penggunaan tenaga, dengan memanfaatkan teknologi canggih,” katanya dalam satu kenyataan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X