Rabu, 10 April 2019 | 7:15pm

QSR Brands tangguh IPO

KUALA LUMPUR: QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) menangguhkan penyenaraian semulanya di Bursa Malaysia yang dijangka mampu menjana sehingga AS$500 juta (RM2.05 bilion) berikutan pelabur berpotensi mempersoalkan penilaiannya, kata sumber kepada Reuters.

Ia sebelum ini dilaporkan melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada pertengahan tahun ini.

Sumber berkata, penangguhan itu disebabkan jangkaan untuknya menggandakan pendapatan sebanyak 25 kali tidak dapat dicapai, selain impak pasaran yang lembap.

Pengendali restoran makanan popular Kentucky Fried Chicken (KFC) itu pada Oktober tahun lalu, memfailkan draf prospektus cadangan penyenaraian semula sahamnya di Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mana menawarkan 1.465 bilion saham untuk dijual dalam IPO, termasuk terbitan awam 70 juta saham baharu QSR Brands.

Rancangan penyenaraian QSR Brands pengeluar produk ternakan, Leong Hup International Bhd sebelum ini dijangka dapat membantu memulihkan pasaran utama yang lemah.

Penyenaraian IPO terbabit yang ditangguhkan tahun lalu berikutan kelemahan pasaran, dijangka mampu menjana nilai sehingga AS$900 juta (RM3.7 bilion).

Jumlah penjanaan dana dari IPO di Malaysia merosot kepada AS$170 juta (RM692.92 juta pada 2018), terendah dalam tempoh 20 tahun, berbanding dengan AS$1.8 bilion (RM7.34 bilion) yang direkodkan pada 2017, demikian menurut data Refinitiv.

Saham tempatan terkesan pada Mei selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan kerajaan menerusi pilihan raya umum, selepas enam dekad.

Situasi itu mewujudkan ketidakpastian mengenai dasar kerajaan yang baharu dan indeks saham jatuh enam peratus tahun lalu, sejajar dengan pasaran serantau.

Berita Harian X