Isnin, 15 April 2019 | 11:08am
PRESIDEN Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton. - Foto Hafiz Sohaimi.
PRESIDEN Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton. - Foto Hafiz Sohaimi.

Ericsson sedia bantu Malaysia capai sasaran guna 5G

KUALA LUMPUR: Firma telekomunikasi multinasional, Ericsson sedia membantu Malaysia merealisasikan teknologi komunikasi generasi kelima (5G) secara komersial di negara ini.

Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton, berkata beliau menjangkakan Malaysia sudah bersedia dalam menggunakan teknologi itu secara komersial menjelang 2021 atau 2022.

Namun tegasnya, bagi menggunakan teknologi itu, Malaysia perlu mengukuhkan platform teknologi komunikasi generasi keempatnya (4G) terlebih dulu.

“Apabila kita bercakap mengenai teknologi 5G, perkara pertama yang perlu diteliti terlebih dahulu adalah ekosistem sedia ada.

“Ketika ini, kita mengalami kekurangan sumber serta peserta industri ini. Lantaran itu Malaysia memerlukan rangka kerja yang tepat bagi meneroka potensi 5G ini.

“Ericsson sebagai peneraju dalam teknologi 4G dan 5G, adalah rakan pilihan untuk pengendali di Malaysia dan kami akan berkerjasama dengan kerajaan bagi perkara ini,” katanya dalam satu temubual bersama BH, baru-baru ini.

Todd berkata, kerja-kerja asas perlu dilakukan sekarang bagi memperkukuhkan platform 3G dan 4G sebelum beralih kepada teknologi 5G.

Pada Mei 2017, Ericsson dan Celcom Axiata Bhd menjalankan percubaan isyarat 5G di Malaysia untuk membangunkan rangkaian telekomunikasi mudah alih.

Ia adalah percubaan 5G pertama yang dijalankan pada 28 GHz band di Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, beliau berkata Ericsson sentiasa ke hadapan dalam inovasi teknologi 5G di Malaysia dan peringkat global selain menjalin kerajasama bagi memperkukuh ekosistem sedia ada dengan pengendali, industri dan akademik.

“Ericsson juga akan mempamerkan pelbagai demonstrasi 5G dan kes penggunaan 5G di Malaysia hasil perkongsian kami dengan rakan kerja strategik pertama di Malaysia pada Pameran 5G Malaysia tidak lama lagi.

“Demonstrasi ini akan menggariskan keupayaan 5G seperti jalur lebar besar dan latensi ultra rendah yang dijangka akan menggerakkan kes-kes penggunaan baru yang digunakan industri,” katanya.

Rangkaian mudah alih 5G dijangka menyumbang lebih 24 peratus atau AS$3.1 bilion (RM12.2 bilion) kepada pendapatan operator di Malaysia menjelang 2026.

Todd berkata, Ericsson juga beralih kepada 5G secara global dengan memperoleh 18 kontrak 5G komersial dan beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta konsep dengan pengendali telekomunikasi dan institusi global.

Ericsson juga, katanya menjadi pemacu utama dalam proses penyeragaman 5G.

Firma multinasional itu adalah penyumbang utama Projek Kerjasama Generasi Ketiga (3GPP) dengan kertas kerja paling banyak diluluskan berkaitan dengan 4G dan atau 5G antara tahun 2006 hingga 2017.

“Ericsson juga adalah penyumbang terbesar berkaitan dengan 5G pada 2018. Kumpulan sudah menjalankan 50,000 kerja kepada 3GPP bagi membangunkan 2G, 3G, 4G dan 5G untuk lebih daripada 15,000 syarikat.

“Lantaran itu kami sedia bekerjasama dan membangunkan teknologi 5G di Malaysia,” katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjangkakan teknologi 5G berpotensi sedia digunakan secara komersial di negara ini menjelang 2021 atau 2022.

Sasaran itu adalah berdasarkan perspektif rangkaian yang perlu dinaik taraf bagi menyokong 5G dan kesediaan komersial untuk pengguna.

Walaupun sasaran itu masih jauh, SKMM berkata Malaysia perlu melakukan banyak persediaan awal termasuk melaksanakan ujian di Putrajaya dan Cyberjaya, selain mempelawa rakan teknologi untuk memahami potensinya.

Berita Harian X