Isnin, 15 April 2019 | 5:35pm

Greatech dapat kelulusan ke Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Greatech Technology Bhd, syarikat penyedia penyelesaian automasi, menandatangani perjanjian taja jamin dengan penaja jamin tunggal, Alliance Investment Bank Bhd sebagai sebahagian daripada proses penyenaraiannya di ACE Market Bursa Malaysia Securities Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, EK Tan, berkata perjanjian itu menandakan usaha syarikat dalam merealisasikan tawaran awam permulaan (IPO).

“Penyenaraian IPO terbabit bakal memperluaskan lagi keupayaan pengeluaran dan operasi perniagaan kami.

“Pengembangan perniagaan syarikat kelak akan membolehkan kami terus maju melampaui kejayaan semasa dalam menyediakan penyelesaian automasi industri bagi sektor solar, semikonduktor dan elektronik pengguna kepada sektor baru seperti segmen bateri.

“Kami percaya masih banyak peluang untuk diterokai dalam industri automasi di peringkat global terutamanya dalam syarikat multinasional di mana Revolusi Industri 4.0 telah mula diguna pakai dalam meningkatkan kecekapan,” katanya dalam satu kenyataan.

IPO Greatech terdiri daripada sejumlah 119.75 juta saham di mana 18.78 juta saham akan ditawarkan kepada awam, 9.39 juta saham akan dikhususkan untuk lembaga pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang layak, 22.72 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan swasta kepada pelabur terpilih dan baki 68.86 juta saham untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Berita Harian X