Selasa, 23 April 2019 | 1:35pm

Keuntungan suku pertama Nestle meningkat

PETALING JAYA: Nestle (Malaysia) Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM313 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019, meningkat 6.1 peratus berbanding RM295 juta yang diraih pada suku sama tahun lalu.

Keuntungan bersihnya dalam suku dikaji juga meningkat kepada RM235 juta, berbanding RM231 juta pada suku sama 2018, sekali gus mencerminkan prestasi kukuh kumpulan.

Pendapatan yang diraihnya pada suku berkenaan meningkat kepada RM1.45 bilion, selepas mengambil kira pelupusan perniagaan tenusu dingin pada 1 Januari 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols, berkata kumpulan mencatatkan permulaan mantap bagi tahun yang dilaporkan, yang mana pertumbuhan adalah mengatasi prestasi pasaran.

Beliau berkata, perolehan diterajui oleh pertumbuhan jualan domestik memberangsangkan sebanyak 4.9 peratus bagi suku tahun dikaji, dipacu oleh momentum jualan kukuh pada tempoh perayaan Tahun

Baru Cina.

“Kami terus mencipta peluang penggunaan baharu dan menggiatkan proses inovasi produk pada suku pertama. Inovasi produk baharu pada S1 termasuk MAGGI Pedas Giler 2X Ayam Bakar, MILO dengan Bijirin Penuh dan juga Nasi Perang NESTUM.

“Dalam tempoh yang akan datang, kami terus tertumpu pada usaha memanfaatkan peluang baharu bagi produk, dengan mencipta pelbagai inovasi dan sentiasa mencapai kecekapan sambil menggiatkan pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Keuntungan operasi kumpulan meningkat enam peratus kepada RM322 juta pada suku pertama 2019, daripada RM303 juta suku sama sebelumnya.

Keuntungan ini dicapai berasaskan perbelanjaan operasi lebih rendah, terutama disebabkan pengurangan

perbelanjaan pemasaran dan promosi secara berperingkat, harga komoditi yang masih berpatutan dan peningkatan kecekapan di seluruh rantaian bekalan.

Mengulas mengenai prospek akan datang, Aranols berkata Nestle gembira dengan permulaan kukuh pada tahun semasa.

“Walaupun masih menghadapi sedikit tekanan dari segi harga komoditi dan sentimen pengguna yang turun naik, kami yakin kami dapat mengekalkan momentum ini pada tahun yang akan datang, berpandukan rancangan rapi yang telah disusun untuk menjana pertumbuhan yang menguntungkan dan mapan,” katanya.

Berita Harian X