Selasa, 23 April 2019 | 6:35pm

FGV, Tabung Haji pertimbang jual aset perladangan di Indonesia

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Haji (TH) sedang mengkaji untuk menjual sahamnya dalam Trurich Resources Sdn Bhd (Trurich), yang memiliki ladang sawit di Kalimantan, pada harga sehingga AS$1 bilion (RM4.13 bilion).

Langkah berkenaan antara yang dipertimbangkan oleh kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan itu dalam usaha mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing, kata sumber yang dipetik Bloomberg hari ini.

Difahamkan FGV dan TH kini sedang berunding dengan penasihat urus niaga untuk mencari pembeli pegangan dalam Trurich Resources, yang memiliki 42,000 hektar ladang sawit di Kalimantan.

“FGV dan TH masih belum membuat keputusan akhir sama ada untuk menjual (tanah berkenaan) dan syarikat berkenaan mungkin mengekalkannya sebagai aset jika ia gagal mendapat tawaran harga yang menarik,” demikian mengikut sumber yang dipetik agensi berita kewangan berkenaan.

Dalam pada itu, TH ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh mengesahkan dan memberi sebarang komen memandangkan Trurich adalah syarikat kerjasama 50-50 dengan FGV yang juga syarikat senaraian awam.

“Maaf, tiada sebarang komen boleh diberikan memandangkan FGV adalah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham. Harap anda faham mengenainya.,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri kepada BH di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, FGV tidak memberi sebarang respons mengenai perkara itu.

Memetik laporan Bloomberg, perjanjian berkenaan boleh membantu pemilik Trurich melepaskan aset yang menjadi subjek perdebatan.

Pada Disember lalu, Trurich memfailkan laporan polis yang mendakwa bekas pengurusan kanan TH mengelirukan syarikat berkenaan sehingga membuat lebihan pembayaran bagi pembelian tanah di Indonesia antara tahun 2008 dan 2009.

Sehingga kini, pegawai kanan terbabit masih tidak memberikan maklum balas terhadap dakwaan berkenaan.

Pada Disember lalu, Kementerian Kewangan bersetuju untuk mengambilalih aset yang tidak memberi pulangan baik daripada TH yang mana bernilai RM19.9 bilion.

Langkah berkenaan adalah bagi membolehkan TH memulihkan lembaran imbangan, sekali gus memberi hibah kepada pendeposit.

Berita Harian X