Khamis, 25 April 2019 | 4:55pm
Stesen minyak PETRONAS.

Stesen minyak Petronas mula tawar biodiesel B10

KUALA LUMPUR: Proses menaik taraf penawaran biodiesel kepada B10 daripada campuran B7 di stesen minyak kendalian Petronas Dagangan Bhd (PDB) berjalan lancar.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata proses menambah baik itu dilaksanakan PDB lebih awal daripada tarikh pelaksanaan mandatori 1 Februari 2019 dengan pengenalan Dynamic Diesel B10 di dua stesen minyaknya di Lembah Klang.

“Hari ini, tumpuan diberikan kepada sektor pengangkutan dan proses menaik taraf penawaran biodiesel dalam sektor perindustrian pula dijangka pada pertengahan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PDB di sini, hari ini.

Persekitaran harga minyak sawit semasa adalah masa yang sesuai untuk meluaskan pelaksanaan mandat biodiesel di Malaysia.

Langkah itu boleh membantu meningkatkan permintaan minyak kelapa sawit sebagai bahan mentah, selain ia juga dapat memberi sokongan kepada harga minyak sawit yang terkesan daripada paras inventori dan pengeluaran yang tinggi tetapi berhadapan permintaan yang lembap.

Pelaksanaan penggunaan biodiesel B10 yang terdiri daripada campuran 10 peratus metil ester dan 90 peratus diesel petroleum bagi sektor pengangkutan dijalankan secara berperingkat mulai Disember tahun lalu.

Terdahulu pada sidang media, Pengerusi PDB, Datuk Md Arif Mahmood, berkata syarikat memperuntukkan sekitar RM500 juta bagi perbelanjaan modal tahun ini, peruntukan lebih besar berbanding RM300 juta tahun lalu.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada capex itu akan digunakan bagi kerja menaik taraf stesen Petronas sedia ada kepada reka bentuk baharu yang lebih eksklusif dan menarik.

Selain itu, katanya pihaknya juga merancang membuka lima hingga 10 stesen minyak baharu tahun ini, berbanding 12 tahun lalu.

Ketika ini, terdapat 1,057 stesen minyak Petronas di seluruh negara.

Berita Harian X