Khamis, 25 April 2019 | 6:22pm
HARIS Fadzilah Hassan

FGV kurangkan kos tenaga kerja 10 peratus setahun

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) merancang untuk mengurangkan kos tenaga kerjanya sebanyak 10 peratus setahun sejajar pelan pemulihan yang dirangka syarikat perladangan sawit terbesar dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata perancangan itu merangkumi pengurangan kos elaun kerja lebih masa, bil perubatan dan perbelanjaan lain untuk kakitangan.

Bahkan, katanya, pengurangan kakitangan hanya berlaku jika ada proses pelupusan perniagaan bukan teras dilaksana serta melalui proses skim pemisahan bersama (MSS) dan persaraan wajib.

“Langkah penjimatan kos operasi ini akan dilaksana dalam tempoh tiga tahun yang mana kos tenaga kerja kini terlalu tinggi, mencecah sekitar RM1 bilion setahun.

“FGV menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa syarikat akan menghentikan 6,000 kakitangannya dalam tempoh tiga tahun.

“Syarikat bukannya bertindak memberhentikan 6,000 kakitangan tetapi hanya merancang mengurangkan 10 peratus kos tenaga kerjanya setahun,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Pengumuman itu adalah yang kedua membabitkan tenaga kerja dalam industri sawit negara selepas Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor turut meninjau untuk menyusun kembali jumlah kakitangannya supaya lebih ramai diperlukan di wilayah menjaga ladang, berbanding di ibu pejabat.

Menerusi temubual dengan BH pada minggu lalu, Megat Zaharuddin berkata, ketika ini, Kumpulan FELDA memiliki 5,500 kakitangan, dengan 3,800 orang daripadanya di bawah agensi.

Sedangkan, katanya, untuk meningkatkan pengeluaran ladang yang diuruskan agensi itu, beliau mahu jumlah pekerja di peringkat perladangan ditambah kerana kini jumlahnya terlalu kecil.

“Di Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) kita ada 1,550 pekerja, manakala Jabatan Perladangan dan Jabatan Hal Ehwal Tanam Semula FELDA hanya ada 100 kakitangan.

“Apabila model baharu sudah ada nanti baru kita tahu macam mana aturkan kakitangan mengikut perniagaan. FELDA adalah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) maka sukar membuang pekerja, bukan itu yang kita fikirkan tapi hanya mahu jumlah kakitangan yang lebih seimbang,” katanya.

Berita Harian X