Khamis, 25 April 2019 | 11:08pm
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Ekonomy Corporation (MDEC), Surina Shukri (dua dari kiri) pada sidang media selepas perasmian Program Ideas Exchange and Soft Launch of Hong Kong Exchange di Menara HLA. Turut hadir (dari kiri) Pengurus Besar HLX Mohamed Reezan, Pengarah Urusan Kumpulan GuocoLand Malaysia, Datuk Edmund Kong dan Naib Presiden (Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan) MDEC, Norhizam Kadir. - Foto BERNAMA

Hong Leong Group lancarkan hab inovasi

KUALA LUMPUR: Hong Leong Group Bhd hari ini melancarkan hab inovasi, HLX, untuk membantu perkembangan ekosistem syarikat pemula niaga teknologi di Malaysia, menerusi perkongsian strategik dengan Perbadanan Digital Malaysia (MDEC).

Pengarah Urusan Kumpulan GuocoLand Malaysia Bhd (ahli Hong Leong Group), Datuk Edmund Kong, berkata HLX yang akan dibangunkan dalam dua fasa, menawarkan kemudahan pusat sehenti yang memberi fokus kepada komuniti korporat dan pemula niaga untuk memecut inovasi dan merangsang ekosistem syarikat pemula niaga di negara ini.

“Bersandarkan kepada asas keusahawanan kami yang kukuh, Hong Leong Group sentiasa memberi tumpuan untuk memupuk inovasi. Penubuhan HLX adalah langkah ke arah usaha ini yang wujud daripada komitmen kami untuk mengasah potensi ekosistem pemula niaga agar memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat secara keseluruhan.

“Kepakaran kukuh dan pengetahuan mendalam kami dalam pelbagai industri sudah pasti akan memberikan faedah kepada syarikat pemula niaga yang menjadi sebahagian daripada HLX,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran HLX di sini, hari ini.

Kong berkata kompleks berkeluasan 250,000 kaki persegi itu akan menempatkan zon pemula niaga dilengkapi ruang kerja bersama serta beberapa kemudahan penganjuran program seperti auditorium, restoran dan gim.

Beliau berkata, inkubator inovasi itu akan menjadi tempat tumpuan utama dalam kalangan rakan usaha sama untuk mengembangkan ekosistem seperti pemodal teroka, rakan pementoran dan teknologi, pemula niaga teknologi/ peningkatan skala dan syarikat.

Projek itu juga merupakan kerjasama awam dan swasta bersama MDEC, yang menjadi batu loncatan kepada HLX sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi digital.

Sinergi itu bertujuan mempercepat inovasi dalam kalangan pemula niaga bagi menyemarakkan usaha transformasi digital negara dalam sektor seperti pembuatan, pertanian, infrastruktur dan perkhidmatan.

Mengenai aspek bakat, Akademi HLX akan menjadi platform pertukaran pembinaan kapasiti bersama-sama pekerja masa depan menerusi latihan, pementoran dan penempatan industri, dengan kerjasama bersama pakar teknikal, antaranya CXS dan BAC Twistcode.

Akademi HLX akan berusaha melahirkan inovator dan pencipta yang bersedia dengan industri, dan pada masa sama memadankan kemahiran mereka dengan rakan utama daripada syarikat dan kerajaan. - BERNAMA

Berita Harian X