Jumaat, 26 April 2019 | 3:27pm

CIMB Group agih RM2 bilion kepada PKS

KUALA LUMPUR: CIMB Group, menerusi anak syarikatnya CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd, menjalin perkongsian strategik dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

Pengerusi CIMB Islamic Bank, Datuk Mohamed Ross Mohd Din, berkata ia bertujuan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengakses pembiayaan RM2 bilion menerusi skim Jaminan Portfolio-i CGC.

"Skim pembiayaan itu bakal menyaksikan CIMB Bank dan CIMB Islamic mengagihkan sehingga RM2 bilion melalui Jaminan Portfolio-i, pembiayaan modal kerja Islam yang mana 70 peratus daripada jumlah pinjaman dijamin CGC, tanpa cagaran.

"Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM1 juta bagi setiap pelanggan, dengan tempoh maksimum tujuh tahun," katanya pada majlis pemeteraian perkongsian strategik itu di sini hari ini.

CIMB diwakili Ketua Perbankan PKS Malaysia, Perbankan Komersil Kumpulan CIMB Bank, KJ Balan manakala CGC diwakili Ketua Pegawai Perniagaannya, Leong Weng Choong.

Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd lshak; Ketua Pegawai Korporatnya, Rahim Raduan; Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Islam Kumpulan, CIMB Group, Rafe Haneef dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial CIMB Group, Ahmad Shazli Kamarulzaman.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zamree berkata sepanjang enam tahun yang lalu, kedua-dua CIMB dan CGC berjaya melancarkan 13 skim Jaminan Portfolio berjumlah RM1.4 bilion, yang memberi manfaat kepada 2,000 PKS.

Beliau berkata, terkini CGC menguruskan 45 skim jaminan dan pembiayaan, termasuk 16 skim disokong kerajaan.Ketika ini, 17 bank komersial, 15 bank Islam dan tujuh Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) mengambil bahagian dalam skim jaminan CGC, katanya.

Sementara itu siaran akhbar CIMB Group hari ini memetik Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersil Kumpulan CIMB Group, Victor Lee Meng Teck, sebagai berkata PKS adalah segmen penting bagi CIMB Group, yang mana ia diunjurkan menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2020.

CIMB Bank baru-baru ini mengumumkan komitmennya untuk mengagihkan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang untuk membantu 100,000 PKS di Malaysia, terutamanya bagi pembiayaan di bawah RM500,000, sebagai sokongan kepada usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran mesra usahawan bagi merancakkan ekonomi Malaysia.

CIMB Bank mengagihkan sejumlah RM17.8 bilion pada 2016-2018 bagi menyokong pertumbuhan 17,000 PKS Malaysia dengan menyediakan modal kerja, pembiayaan aset dan pembiayaan perdagangan.

Menurut Victor, CIMB Group juga komited menyokong PKS bukan sahaja di Malaysia tetapi juga merentasi ASEAN, sejajar Forward23, pelan pertumbuhan jangka sederhana ClMB.

Berita Harian X