Isnin, 29 April 2019 | 1:43pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

FGV, PLS teroka potensi bangun ladang durian

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) memeterai perjanjian induk (HoA) bersama PLS Plantation Bhd (PLS) bagi meneroka potensi menjalin usaha sama membangunkan ladang tanaman kontan, khususnya durian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memanfaatkan penggunaan kawasan tidak dibangunkan, yang tidak sesuai untuk kelapa sawit dan meneroka aliran pendapatan tambahan dengan meningkatkan peratusan tanaman kontan.

Beliau berkata, sektor perniagaan logistik dan sokongan FGV juga akan memperoleh manfaat daripada perkongsian itu kerana menawarkan rangkaian logistik yang boleh dipercayai menerusi kerjasama strategik.

“Menerusi HoA ini, FGV berharap untuk meneroka peluang bagi kedua-dua pihak untuk menjlain usaha sama, sejajar cadangan Program Ladang Durian Negara yang dimulakan oleh PLS," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

HoA itu dimeterai sempena Forum Jalur dan Jalan di Beijing, China.

Pada Ogos tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memeterai protokol eksport dengan Pentadbiran Am Kastam China untuk eksport durian segar dan beku.

Haris Fadzilah berkata, terdapat potensi pasaran yang besar bagi industri durian Malaysia, dengan China kini menjadi pengguna terbesar buah dunia.

PLS, menerusi anak syarikatnya, Dulai Fruits, berjaya menembusi pasaran 10 negara, dengan China adalah pasaran terbesar.

Dulai Fruits mempunyai pengalaman 30 tahun dalam penanaman dan eksport durian.

Mengulas lanjut, Haris Fadzilah berkata FGV juga akan memanfaatkan risikan dan rangkaian pasaran PLS untuk mengukuhkan lagi produk dan kedudukan jenamanya di China.

“Kami mengenal pasti lebih 1,398 hektar tanah yang berpotensi untuk penanaman durian komersial berskala besar,” katanya.

Mengikut data perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), eksport durian ke China meningkat pada purata 35 peratus setahun, bernilai AS$1.1 bilion (RM4.54 bilion) pada 2017, jauh lebih tinggi daripada AS$243 juta (RM1 bilion) sedekad lalu.

Walaupun Thailand menguasai pasaran, kerajaan menyasarkan peningkatan 50 peratus jumlah eksport menjelang 2030, memandangkan industri tempatan mencorakkan semula pasaran global.

Haris Fadzilah berkata, durian adalah tanaman kontan yang paling menguntungkan dari perspektif nilai sehektar dan FGV mahu memanfaatkan permintaan dari China ke atas Raja Buah itu.

“Kami yakin usaha ini akan memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan FGV, yang akan meningkatkan nilai pemegang saham,” katanya.

Berita Harian X