Jumaat, 3 Mei 2019 | 3:16pm

Unit Malakoff jual tenaga biogas ke TNB

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Malakoff Corp Bhd, Green Biogas Sdn Bhd (GBSB) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memeterai perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui (REPPA) bagi membolehkannya menjual tenaga elektrik daripada projek loji tenaganya yang dirancang di Johor kepada TNB untuk 21 tahun.

Malakoff dalam satu kenyataan berkata, GBSB akan menjual tenaga elektrik yang dijana daripada cadangan loji tenaga biogas Sungai Kachur 2.4 MW yang terletak di Kota Tinggi, Johor kepada TNB.

“GBSB terbabit dalam proses e-bidaan tarif feed-in yang kompetitif dan menghantar bidaannya bagi projek berkenaan pada 30 November 2018.

“Kerajaan, melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) pada 29 Januari lalu mengumumkan bahawa ia telah menerima bidaan GBSB sebagai salah satu pembida yang berjaya.

Susulan itu dan seperti mana yang diperlukan oleh SEDA, GBSB berkata ia memeterai REPPA bersama TNB bagi menjual tenaga yang dijana daripada projek itu kepada TNB untuk tempoh 21 tahun.

“REPPA itu mengawal selia dan mengawasi hak serta tuntutan TNB dan GBSB berhubung projek ini,” katanya.

Berita Harian X