Jumaat, 3 Mei 2019 | 4:38pm
DARI kiri, Penasihat Menteri dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Hiroyuki Orikasa, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Ketua Pegawai Operasi Unit Perniagaan IT & Komunikasi Mitsui, Masahiro Moriyasu dan Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid.

Firma Jepun muncul pelabur strategik Axiata Digital

KUALA LUMPUR: Mitsui & Co Ltd (Mitsui), antara firma dagangan terbesar di Jepun membuat pelaburan minoriti strategik di dalam Axiata Digital Sdn Bhd, unit perkhidmatan digital Axiata Group Bhd.

Pelaburan itu memberikan pra-nilai enterpris AS$500 juta (RM2.07 bilion) bagi perniagaan digital teras Axiata Digital yang merangkumi Boost, analytics.data.advertising (ada) dan Apigate.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah, berkata Mitsui akan menjadi pemegang saham strategik dan rakan niaga cabang perniagaan teras Axiata Digital.

Beliau berkata, dana yang dikumpul akan disalurkan bagi memacu fasa pertumbuhan perniagaan teras AD.

“Pelaburan ini bukan hanya memberikan sumber kewangan bagi Axiata Digital mengembangkan perniagaan, tetapi juga membawa aset strategik dalam portfolio syarikat.

“Peralihan fokus kumpulan kepada tiga cabang perniagaan ini membolehkan kami mencatatkan pertumbuhan perniagaan yang memberangsangkan pada tahun lalu.

“Lantaran itu, kami berhasrat melalui pelaburan Mitsui ini dapat meningkatkan perniagaan sedia ada dan mengekalkan fokus kepada inovasi kewangan khas untuk pelanggan denan menggabungkan data serta kandungan kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian pelaburan antara Axiata dan Mitsui yang disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim; Menteri Kaunselor dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Hiroyuki Orikasa dan Ketua Pegawai Operasi Unit Perniagaan Komunikasi dan Teknologi Maklumat Mitsui, Masahiro Morayasu.

Sementara itu, Masahiro Morayasu berkata pelaburannya itu adalah langkah memperluaskan kerjasama antara kedua pihak selepas kerjasama pertamanya dalam Smart Axiata di Kemboja.

“Dengan meningkatkan kerjasama ini, kami yakin dapat membina nilai baharu dan melonjakkan transformasi digital dalam pelbagai industri serta menyokong rakan dagang serta pelanggan kami,” katanya.

Minggu lalu, Axiata Digital menjalankan pemindahan baki portfolionya dalam Digital Venture (DV) kepada dana pelaburan antarabangsa Pegasus 7 Pte Ltd yang diuruskan Gordian Capital dengan penilaian AS$640 juta.

Sementara itu, Jamaludin berkata, pelaburan dari Mitsui dan Gordian Capital membolehkan pra-nilai dan aset DV digandakan sebanyak 2.6 kali berbandung pelaburan digital kumulatif sebanyak AS$244 juta.

“Seiring dengan kejayaan cabang perniagaan teras AD, kumpulan percaya kami berada di landasan tepat mencipta syarikat bernilai AS$1 bilion pertama di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X