Isnin, 6 Mei 2019 | 1:57pm

Pemegang saham Digi, Axiata bincang potensi gabung aset

KUALA LUMPUR: Pemegang saham terbesar Digi.Com Bhd (Digi), Telenor Group sedang mengadakan perbincangan bersama Axiata Group Bhd berhubung potensi menggabungkan aset telekomunikasi dan infrastruktur di Asia di bawah entiti baharu (MergeCo).

Lembaga Pengarah Digi telah dimaklumkan perkara itu, yang akan menyaksikan Telenor

Group memegang kepentingan majoriti dalam MergeCo yang dicadangkan.

Dalam kenyataan kepada Oslo Stock Exchange hari ini, Telenor mengumumkan bahawa potensi aset telekomunikasi dan infrastruktur yang digabungkan itu disasar mewujudkan sebuah syarikat telekomunikasi Pan Asia yang utama dan pelbagai, dengan operasi di sembilan negara hampir satu bilion penduduk serta 300 juta pengguna.

Penggabungan juga akan menjadi salah satu syarikat infrastruktur mudah alih terbesar Asia yang mengendalikan kira-kira 60,000 menara seluruh Asia.

“Bagaimanapun, tiada jaminan bahawa perbincangan ini akan menghasilkan sebaran perjanjian urus niaga antara semua pihak,” kata Digi dalam satu kenyataan.

Lembaga Pengarah Digi sudah dimaklumkan bahawa Telenor dan Axiata akan berbincang ke arah memuktamadkan perjanjian berkenaan menjelang suku ketiga 2019, susulan penilaian wajar yang berkaitan.

Sementara itu, Axiata dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia mengesahkan perbincangan bersama Telenor untuk menubuhkan sebuah entiti global tergabung baharu, bagi mewujudkan juara global yang merangkumi portfolio aset telekomunikasi, digital serta infrastruktur.

Ia berkata, cadangan itu membabitkan penggabungan operasi Asia bagi Axiata dan Telenor dalam pasaran ASEAN serta Asia Selatan.

Berita Harian X