Isnin, 6 Mei 2019 | 2:16pm
Produk keluaran Wipro Consumer Care. NSTP/Rosela Ismail.
Produk keluaran Wipro Consumer Care. NSTP/Rosela Ismail.

Wipro ambil alih syarikat penjagaan diri Filipina

KUALA LUMPUR: Syarikat penjagaan diri kedua terbesar tempatan, Wipro Consumer Care (Wipro) yang juga pemilik jenama penjagaan kulit terkenal Safi, mengambilalih keseluruhan kepentingan dalam syarikat penjagaan diri dari Filipina, Splash Corporation (Splash).

Presiden Rantau Asia Tenggara dan Asia Barat - Afrika Utara (MENA) Wipro, Kumar Chander, berkata pengambilalihan terbaharu itu adalah yang terbesar sejak pengambilalihan syarikat dari Malaysia, Unza pada 2007.

Kumar berkata, pemerolehan Splash ini juga seiring dengan sasaran Wipro menjadi antara tiga peserta utama dalam pasaran penjagaan diri di Asia.

Pembelian Splash, katanya akan mengukuhkan lagi portfolio jenama sedia ada dan meluaskan penguasaan pasaran Wipro di Asia dengan jangkaan pendapatan sebanyak AS$2 bilion pada tahun kewangan 2023 berbanding AS$1 bilion ketika ini.

“Ia juga akan mengukuhkan kedudukan kami di Filipina, kerana ia adalah pasaran penjagaan diri dan kecantikan ketiga terbesar di Asia bernilai lebih AS$4 bilion.

“Kehadiran kami akan dibantu pasaran sedia ada Splash di beberapa segmen penting bukan saja Filipina tetapi juga di negara lain seperti Indonesia, Vietnam, Hong Kong dan Asia Barat,” katanya pada majlis pengumuman pengambilalihan berkenaan di sini, hari ini.

Kumar berkata, di peringkat Malaysia, pengambilalihan itu juga akan meningkatkan peranan Wipro Unza Malaysia sebagai pusat inovasi dan pengeluaran.

Beliau berkata, Wipro menjangkakan eksport dari kemudahannya di Malaysia akan meningkat dua angka tahun hadapan.

Jenama di bawah Wipro pula, katanya akan menjadi jenama nombor satu dari segmen penjagaan diri di Malaysia pada akhir tahun kewangan 2019.

“Kami melihat ini adalah peluang untuk memanfaatkan kekuatan kedua syarikat dalam pengeluaran, pemasaran, jualan serta penyelidikan dan pembangunan bertaraf dunia.

“Selain Wipro memasuki pasaran Splash, kami juga akan membawa produk Splash memasuki pasaran negara yang belum diterokainya lagi seperti Malaysia.

“Kami menjangkakan separuh kedua tahun ini akan mula membawa masuk produk jenama Splash ke pasaran tempatan,” katanya.

Selain Safi, antara jenama lain di bawah Wipro adalah Enchanteur, Romano, Eversoft, Eversoft Skinz, Gervenne, Aiken, Elite, Carrie Junior, Dashing, New & Trendy dan Sumber Ayu.

Splash pula mempunyai jenama seperti SkinWhite, Maxi-Peel dan Vitress.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X