Isnin, 6 Mei 2019 | 6:32pm

Bursa Malaysia guna teknologi blockchain bagi SBL

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd melaksanakan Pembuktian Konsep (POC) bagi pinjaman dan pembiayaan sekuriti (SBL) yang menerokai peluang ditawarkan teknologi blockchain untuk membangunkan ketelusan lebih tinggi dan menangani cabaran operasi lain berkaitan pasaran SBL di Malaysia ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata projek itu bermatlamat meningkatkan kecekapan, kecepatan dan kapasiti dalam pembekalan pinjaman sekuriti dan permintaan pinjaman (Kemudahan Pinjaman).

"Meliputi pasaran berbeza, kajian empirik menunjukkan jualan singkat membantu dalam menyediakan mudah tunai tambahan dan meningkatkan kecekapan harga.

"Pasaran SBL Malaysia yang berpotensi berkembang menjadikannya calon utama di mana kuasa teknologi blockchain boleh memberikan impak. Usaha sama ini juga akan memanfaatkan industri lebih meluas menerusi pengetahuan baharu, pandangan dan pengalaman praktikal dalam pemupukan inovasi digital untuk menyokong dan memacu pertumbuhan pasaran modal," katanya dalam kenyataan.

POC yang pertama sumpamanya di ASEAN, dibangunkan menerusi kerjasama dengan rakan teknologi Bursa Malaysia, Forms Syntron Information (HK) Ltd (FORMS), sebuah anak syarikat milik penuh Shenzhen Forms Syntron Information Co., Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen.

Ia akan membabitkan pelbagai peserta pasaran SBL.

Affin Hwang Investment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Citibank Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dan Malacca Securities Sdn Bhd bekerjasama dengan Bursa Malaysia dan FORMS untuk memacu pembangunan Kemudahan Pinjaman berasaskan blockchain untuk memenuhi keperluan spesifik, kos dan tekanan kecekapan industri.

-BERNAMA

Berita Harian X