Isnin, 6 Mei 2019 | 8:35pm
PENGARAH Urusan TFP Solutions Bhd, Datuk Hussian A Rahman (tengah) bersama Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TFP Solutions Bhd, Abdul Latib Tokimin (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi TFP Solutions Bhd, Simon Foong.

TFP Solutions giat teroka fintech tingkat hasil kumpulan

KUALA LUMPUR: TFP Solutions Bhd, penyedia perkhidmatan perisian penyelesaian dan produktiviti perniagaan, giat meneroka peluang dalam teknologi kewangan (fintech) bagi meningkatkan pendapatan kumpulan pada masa hadapan.

Pengarah Urusannya, Datuk Hussian A Rahman, berkata fintech bakal memacu kepada perubahan dalam sektor perkhidmatan kewangan dan masyarakat dijangka akan beralih kepada transaksi tanpa tunai sepenuhnya tidak lama lagi.

“Rakyat Malaysia semakin menerima e-bayaran berikutan penerapan penggunaan telefon pintar pada skala lebih besar dan pengenalan platform pembayaran berasaskan mudah alih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perkembangan pesat teknologi pada hari ini akan terus memacu trend e-bayar berkenaan.

“TFP kini dalam usaha mengintegrasikan fintech bagi meningkatkan penyelesaian pengurusan perniagaan (BMS) kami terutama dalam pengurusan sumber manusia (HRM).

“Penyelesaian HRM kami terkenal dengan pelbagai fungsi seperti penjadualan jadual pekerja, sistem cuti dalam talian, pengurusan tuntutan dan menyediakan penyata gaji," katanya.

Justeru, beliau berkata, dengan mengintegrasikan fintech ke dalam penyelesaian sedia ada, syarikat berhasrat membangunkan e-dompet yang akan membolehkan perusahaan atau perniagaan membayar gaji kepada e-dompet pekerja mereka.

Katanya, fungsi ini akan memberi manfaat kepada syarikat yang sangat bergantung kepada pekerja asing.

"Pekerja asing ini juga boleh melakukan sebarang pemindahan dan pengiriman wang dengan lebih efisien dan mudah ke negara asal mereka melalui e-dompet ini," katanya.

TFP disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia.

Sementara itu, anak syarikat milik penuh TFP, SBOne Sdn Bhd, optimis untuk menembusi industri halal menjelang akhir tahun ini dengan penyelesaian peneraju aplikasi perisian perusahaan global, SAP yang disesuaikan dalam Bahasa Malaysia.

Hussian berkata, penyelesaian SAP bertujuan untuk mewujudkan industri 'perusahaan pintar', iaitu gabungan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti operasi ke tahap lebih tinggi.

“Kami melihat adanya potensi yang besar bagi industri halal memperoleh manfaat daripada penyelesaian SAP kami dalam Bahasa Malaysia,” katanya.

Berita Harian X