Selasa, 7 Mei 2019 | 2:22pm

AirAsia raih pengiktirafan peringkat dunia

KUALA LUMPUR: AirAsia dinobatkan sebagai Pasukan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan di Anugerah Global Jurnal Airfinance (AFJ) 2018.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf pasukan perbendaharaan syarikat penerbangan yang mencatatkan prestasi cemerlang dalam strategi pembiayaan pesawat.

Ia dianugerahkan kepada pasukan kewangan pesawat AirAsia yang berjaya menyelesaikan dua projek portfolio pesawat utama tahun lalu kepada FLY Leasing Limited dan Castlelake LP melalui kaedah “struktur pembiayaan cekap yang dapat menyelesaikan beberapa cabaran dalam urus niaga pembiayaan pesawat”.

AirAsia juga membawa pulang Anugerah Urus Niaga Pengarang Tahunan, yang dipilih oleh Pengarang AFJ, Jack Dutton, untuk penjualan operasi pajakan membabitkan 84 buah pesawat bernilai AS$1.18 bilion kepada entiti pelaburan pesawat komersial yang diuruskan oleh BBAM Limited Partnership, FLY Leasing Limited dan Incline B-Aviation Limited Partnership.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan AirAsia, Pattra Boosarawongse dan Ketua Kewangan Penerbangan AirAsia, Farhan Zainul menerima anugerah tersebut bagi AirAsia pada majlis gala di Kelab Metropolitan di New York.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penjualan operasi pajakan pesawat adalah strategi jangka panjang untuk melupuskan aset fizikal bukan teras AirAsia untuk pulangan tunai.

“Strategi ini membolehkan kami meletakkan nilai yang lebih tinggi pada pesawat dan mengelakkan sebarang risiko berbaki dan seterusnya membolehkan kami memberi pulangan tunai kepada pemegang saham dan melabur dalam usaha digital, yang akan meningkatkan pertumbuhan AirAsia di masa hadapan,” katanya.

Berita Harian X