Selasa, 7 Mei 2019 | 4:45pm
MUHAMADDIN Ketapi (tengah) bergambar bersama Seth Yap (kiri) dan Natalie Chan selepas menandatangani memorandum taman tema air Hasbro pertama di dunia. - Foto Zunnur Al Shafiq

Taman tema air Hasbro pertama dunia di Kuala Linggi

KUALA LUMPUR: Malaysia Tourism City (MTC) yang bakal dibina oleh Meridian Bhd (Meridian) di Kuala Linggi, Melaka akan menempatkan taman tema air Hasbro pertama di dunia.

Hasbro adalah jenama permainan antarabangsa dengan kira-kira 1,000 hak intelek seperti Nerf, My Little Pony, Mr Potato Head, Play-Doh, Battleship, Monopoly, Elefun & Friend dan Mousetrap.

Perjanjian pelesenan itu diperoleh melalui M101 Holdings Sdn Bhd, sebuah entiti persendirian Pengarah Eksekutif Meridian, Datuk Seth Yap.

Mengulas perkembangan itu, Yap berkata MTC dijangka bakal memberi pendapatan tambahan kepada sektor pelancongan negara sebanyak RM5 bilion.

Katanya, MTC dengan keluasan 251 hektar itu merangkumi empat cabang utama iaitu pelancongan massa, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan dan eko-pelancongan.

“MTC akan mempunyai empat cabang pelancongan dan fasa pertama akan dilancarkan tahun ini dengan sasaran pelaburan sebanyak RM120 juta.

“Fasa pertama akan menempatkan beberapa tarikan utama pelancongan seperti pasar minggu dan sebahagian daripada taman tema serta hotel.

“Secara keseluruhannya, MTC dapat mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 peluang pekerjaan dan ijuga bakal membantu perusahaan tempatan,” katanya selepas majlis pelancaran MTC di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mengulas lanjut, Yap berkata Meridian menyasarkan peningkatan kemasukan dua juta pelancong dan 1.5 juta pelancong bermalam ke Melaka apabila projek MTC siap kelak.

Pada 2018, purata kedatangan pelancong ke Malaysia adalah seramai 28 juta orang dengan 15 juta daripadanya ke Melaka dan 1.5 juta adalah pelancong bermalam.

Ketika ditanya mengenai nilai keseluruhan projek MTC, Yap berkata, Meridian kini dalam proses untuk menyiapkan dokumen pembiayaan dan pelaburan.

Katanya, projek ini masih berada di peringkat awal dan Meridian serta entiti persendirian di bawah namanya, M101 Holdings Sdn Bhd baru saja memeterai perjanjian pelesenan bersama Hasbro Live.

“Butiran lanjut akan diberikan tidak lama lagi. Ketika ini kami hanya ingin memperkenalkan projek MTC kepada umum.

“Begitu juga dengan taman tema air pertama Hasbro, kami tidak boleh memberikan perancangan terperinci ketika ini kerana masih dalam perbincangan,” katanya.

Projek MTC juga turut mempunyai hartanah komersial dan kediaman dengan perancangan pembinaan pusat kesihatan swasta, institusi pengajian tinggi dan pusat membeli belah.

Berita Harian X