Khamis, 9 Mei 2019 | 1:47pm
MOHAMED Hassan Kamil menunjukan Buku Laporan Tahunan pada Meyuarat Agung Tahunan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad di Menara Takaful, Jalan Sultan Sulaiman. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Takaful Malaysia jangka kekal momentum pertumbuhan

KUALA LUMPUR: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan keuntungan sekurang-kurangnya 30 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sri Mohamed Hassan Kamil, berkata jangkaan itu disandarkan kepada prestasi suku kewangan pertama kumpulan itu yang memberangsangkan.

“Bagi setahun penuh 2018, lebih 30 peratus pertumbuhan keuntungan dicatat kumpulan, dan melihat kepada angka suku pertama (2019), keadaan kelihatan baik.

“Kami harap menjelang hujung tahun kita akan dapat sekurang-kurangnya mengulangi angka pertumbuhan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini hari ini.

Mohamed Hassan berkata, produk berkaitan kredit dijangka kekal menjadi penyumbang utama dan pemacu pertumbuhan syarikat, berikutan perniagaan pembiayaan Islam yang dijangka akan terus berkembang.

Penyumbang lain, katanya ialah perniagaan segmen kebakaran, takaful umum dan kenderaan, terutama daripada platform digital.

Takaful Malaysia mencatat peningkatan keuntungan bersih 37.82 peratus kepada RM96.44 juta pada suku kewangan pertama berakhir 31 Mac 2019 daripada RM69.98 juta suku sama tahun sebelumnya, disumbang pendapatan yuran Wakalah bersih yang lebih tinggi susulan pertumbuhan perniagaan dalam segmen takaful keluarga.

Pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 11.7 sen daripada 8.5 sen.

Pendapatan pada suku dikaji meningkat 23.05 peratus kepada RM918.16 juta daripada RM746.17 juta setahun lalu.

Segmen perniagaan takaful keluarga Malaysia menjana sumbangan kasar sebanyak RM502.9 juta pada suku dikaji, melonjak 55 peratus daripada RM324 juta dalam suku sama tahun sebelumnya, disokong jualan yang lebih tinggi daripada produk berkaitan kredit.

Sementara itu, perniagaan takaful amnya menyumbang sumbangan kasar sebanyak RM204.2 juta pada suku dikaji, peningkatan 12 peratus berbanding RM182.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Hassan berkata susulan perniagaan takaful berasaskan konsep tingkap di Indonesia akan ditamatkan pada 2024 dan akan diganti dengan perniagaan takaful yang berdiri dengan sendirinya, pihaknya berharap akan dapat mewujudkan pengaturan usaha sama dengan rakan kongsi yang baik.

“Adalah baik untuk melihat anak syarikat takaful di Indonesia menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus kepada keuntungan kumpulan,” katanya.

ends

Berita Harian X