Khamis, 9 Mei 2019 | 2:16pm

Rundingan semula ECRL menang-menang

KUALA LUMPUR: Rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara Malaysia dan China menghasilkan situasi menang-menang di mana memberi manfaat kepada kedua-dua negara itu.

Syarikat pelaksana projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, situasi menang-menang yang dimaksudkan termasuk pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion atau 33 peratus daripada kos projek kepada RM44 bilion.

Selain itu, katanya, kedua-dua negara mendapat manfaat menerusi penubuhan 50:50 syarikat usaha sama antara MRL dan China Communications Construction Ltd (CCCC) untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL, serta peningkatan dalam penyertaan tempatan kontraktor Malaysia dalam kerja-kerja awam projek berkenaan.

“Oleh itu, berdasarkan maklumat yang dinyatakan mengenai ECRL, kerajaan atau MRL tidak pernah mendakwa bahawa penjimatan sebanyak RM21.5 bilion bagi projek ECRL yang ditambahbaik adalah semata-mata daripada elemen “overpricing”, malah, ini bukan asas rundingan dengan China.

“MRL ingin menekankan bahawa Malaysia mengadakan rundingan dengan China atas dasar mencari cara dan usaha untuk mengurangkan kos ECRL tanpa kehilangan intipati asas jajaran projek rel berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara memilih untuk berunding dengan semangat muhibah dan diplomatik, serta bermatlamat untuk mencapai kos pembinaan ECRL yang lebih rendah.

“Sebagai pemilik projek dan aset ECRL, MRL juga ingin menyatakan bahawa Wakil Khas Perdana Menteri yang mengetuai perundingan ECRL, Tun Daim Zainuddin, tidak berseorangan memikul tanggungjawab dalam melaksanakan rundingan ECRL dengan CCCC atau China.

“Walaupun Tun Daim adalah perunding utama pasukan petugas ECRL, pasukan petugas ini juga dianggotai oleh pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, MRL dan lain-lain.

“Tambahan pula, komuniti tempatan dan antarabangsa sudah sedia maklum bahawa pasukan petugas ECRL ini mengendalikan proses rundingan dengan jayanya, seperti mana dipaparkan melalui kebanyakan laporan akhbar, portal berita dan stesen TV di Malaysia dan luar negara,” katanya.

Berhubung kajian kebolehlaksanaan dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), MRL menjelaskan, rundingan dibuat berteraskan kontrak asal kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliah (EPCC).

“Secara ringkas, ia bukanlah proses rundingan untuk mencapai Perjanjian EPCC yang baru tetapi untuk menambahbaik projek ECRL menerusi Perjanjian Tambahan (SA) yang ditandatangani pada 12 April 2019 di Beijing.

Mengulas lanjut, MRL berkata, ia menyedari sepenuhnya keperluan untuk pentauliahan satu laporan EIA yang baru terhadap jajaran ECRL sepanjang 640 kilometer yang kini membabitkan jajaran Selatan baru dan penyusunan semula terhadap beberapa jajaran.

“MRL berharap untuk menerima pentauliahan laporan EIA yang baru pada suku ketiga tahun ini kerana penjajaran semula keseluruhan ECRL akan lebih terperinci pada masa itu,” katanya.

Berita Harian X