Ahad, 12 Mei 2019 | 2:15pm
Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie. - NSTP/Rosela Ismail
Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie. - NSTP/Rosela Ismail

TNB sedia tawar perkhidmatan lebih baik

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) optimis dengan prospek pertumbuhan yang membolehkan syarikat utiliti nasional itu menawarkan perkhidmatan lebih baik, memanfaatkan pertumbuhan pasaran baharu menerusi nilai aset rangkaian serta meningkatkan nilai mampan untuk kalangan pihak berkepentingan, kata Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie.

“Kami melihat ini sebahagian daripada komitmen dan sumbangan untuk merealisasikan cita-cita negara,” katanya dalam laporan tahunan kewangan bersepadu 2018 TNB yang turut memperincikan perkembangan syarikat utiliti itu sejak 70 tahun lalu.

Menurut Moggie, bersandarkan pelbagai usaha strategik di bawah pelan induk ‘Reimagining TNB’ (2017-2025), syarikat itu terbukti terus mencatat pertumbuhan hasil tahunan serta keuntungan yang baik, dipacu oleh persekitaran kawal selia yang kondusif.

Pendapatan kumpulan TNB meningkat 6.3 peratus daripada tahun kewangan 2017 kepada RM50.39 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, dengan sebahagian besar daripadanya dipacu oleh peningkatan bekalan elektrik yang mencecah 18,338MW pada Ogos 2018 iaitu meningkat 3.1 peratus berbanding tahun kewangan 2017.

Keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2018 juga rendah kepada RM3.75 bilion berbanding RM6.91 bilion pada tahun kewangan 2017, kebanyakannya disebabkan oleh pelarasan pengawalseliaan akibat perubahan dalam Tempoh Pengawalseliaan Kedua (RP2) 2018-2020, susut nilai dan kesan tukaran asing.

Permintaan tenaga turut meneruskan momentum positifnya pada tahun kewangan 2018 dengan jualan tenaga elektrik tahunan meningkat 1.4 mata peratus berbanding unjuran awal menerusi RP2 rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Moggie berkata, ekosistem mapan oleh rangka kerja IBR dan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga sejak empat tahun lalu, telah membolehkan Malaysia memiliki salah satu rangkaian tenaga mantap di rantau ini serta setanding dengan negara-negara maju lain.

Selain itu, menerusi pelaksanaan pendekatan proaktif dan berwawasan, beliau berkata TNB telah menjalankan kerja-kerja persiapan bagi menghadapi Tempoh Pengawalseliaan Ketiga (RP3) (2021-2023) dan dijangka menyerahkan cadangan IBR RP3 menjelang Disember tahun ini.

Dalam persekitaran perubahan teknologi berterusan yang turut memberi kesan terhadap industri, Moggie berkata TNB yang mencatatkan aspek ketersediaan sistem sebanyak 99.97 peratus pada 2018, juga percaya mengenai kepentingan kalangan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) menyediakan peralihan asas yang akan turut memberi impak terhadap industri itu di peringkat global.

Sambil menyifatkan bahawa usaha pembaharuan kerajaan menerusi MESI 2.0 sebagai bertepatan dan langkah penting bagi membolehkan industri melangkaui aliran global, beliau berkata wujud keperluan untuk melindungi struktur serta kawal selia industri Malaysia di masa depan selain memperkasakan pengguna bagi membuat pilihan tepat dan bijak.

Menyedari pembaharuan pasaran sedemikian, beliau berkata, TNB telah melancarkan pelan strategik di bawah inisiatif ‘Reimagining TNB’ dengan meletakkan asas kukuh dan mentransformasi proses dalaman dan strukturnya bagi membolehkan syarikat utiliti itu lebih berteknologi tinggi serta mengoptimumkan kos, berbanding empat tahun lalu.

Untuk rekod, TNB telah membina 500kV Grid ‘Superhighway’ bernilai RM2 bilion sejak 2015.

Grid yang dijangka siap tahun depan akan akan membolehkan penghantaran tenaga yang mencukupi serta selamat dari kawasan lain ke Kawasan Tengah TNB di Semenanjung Malaysia, yang mewakili kira-kira 45 peratus permintaan tenaga di seluruh Semenanjung.

-BERNAMA

Berita Harian X