Rabu, 15 Mei 2019 | 4:36pm

MBSB catat untung bersih RM83.83 juta

KUALA LUMPUR: Malaysia Building Society Bhd (MBSB) merekodkan keuntungan bersih RM83.83 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019, susut sebanyak 73.5 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh unjuran kerugian kredit dijangka (ECL) yang tinggi.

Peningkatan dalam ECL disebabkan oleh peningkatan nilai sebanyak RM154.39 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, kata syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.

ECL pada suku itu berjumlah RM153.02 juta.

Pendapatan menyusut kepada RM784.04 juta daripada RM815.04 juta sebelumnya.

Jumlah pinjaman kasar, pembiayaan dan pendahuluan, bagaimanapun meningkat sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun kepada RM35.44 juta.

Dalam kenyataan media, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata di sebalik cabaran yang berlaku, termasuk kesan ECL yang tinggi, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan hasil dan pendapatan operasi bersih yang stabil suku ke suku.

Beliau berkata, MBSB masih mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 26.34 peratus, iaitu di bawah purata industri.

“Walaupun keadaan ekonomi Malaysia kekal mencabar, kami akan terus memberi tumpuan dalam memperluas keupayaan perbankan. Oleh itu, transformasi teknologi bank akan terus menjadi agenda utama.

“Dalam perkembangan lain, kami juga menyasarkan untuk meningkatkan fi aktiviti asas pendapatan untuk menambah 35 peratus pendapatan pada akhir 2020,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X