Isnin, 20 Mei 2019 | 12:59pm
Tan Sri Jamaludin Ibrahim (kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Telenor, Sigve Brekke pada sesi taklimat media di Kuala Lumpur, 6 Mei lalu. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Cadangan penggabungan Axiata-Telenor tak jejas pekerja

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden Axiata Group Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim menegaskan bahawa tidak wujud pembuangan pekerja jika cadangan penggabungan dengan operator mudah alih dari Norway, Telenor ASA menjadi kenyataan.

Langkah yang dirancang itu, dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun depan dan Axiata tidak melihat pembuangan pekerja sebagai sesuatu yang akan menguntungkan gabungan itu.

“Tidak akan ada pembuangan pekerja, itu jaminannya," kata beliau kepada Bernama baru-baru, ini meredakan kebimbangan selepas berita mengenai cadangan penggabungan itu diumumkan pada awal bulan ini.

“Kami tidak akan membuat perkara-perkara yang akan memberi kesan ke atas kakitangan kami, falsafah kumpulan adalah untuk sentiasa menjaga kebajikan pekerjanya. Kami amat teguh mengenai berkenaan.

“Malah, Celcom sentiasa mempunyai jumlah kakitangan yang tinggi dan tidak pernah melaksanakan sebarang pemberhentian kerja, selain menawarkan skim berhenti secara sukarela (VSS),” kata Jamaludin, yang telah mengetuai konglomerat telekomunikasi itu sejak 2008.

Celcom telah menjalankan tiga langkah VSS sejak 2015 dengan hanya lebih kurang 350 pekerja yang memilih tawaran itu.

“Kebanyakan orang tidak cukup memahami industri telekomunikasi. Walaupun prestasi kami agak memuaskan, ia tidak boleh dibandingkan dengan industri telekomunikasi global.

“Di Eropah, sebagai contoh, pada 2017, lebih 100,000 pekerja dibuang dan pertumbuhan hanya sebanyak 1.0 peratus. Keuntungan adalah -3.0 peratus. Jika kami tidak berbuat apa-apa di sini, kami mungkin berhadapan dengan krisis yang sama,” kata Jamaludin.

“Langkah penggabungan adalah keputusan yang terbaik kerana apa sahaja yang kami buat, perlu di atas satu kedudukan yang kukuh. Jika terpaksa menguruskan pemberhentian kakitangan, kami akan memiliki kemampuan bagi menawarkan skim sukarela,” katanya.

Beliau menjelaskan, Axiata tidak akan mampu bertahan dalam pasaran domestik jika kekal dengan produk sekarang, tambahan pula, selepas muncul kemudahan mesej merentasi pelbagai platform termasuk perkhidmatan suara melalui Protokol Internet seperti Whatsapp.

“Industri telekomunikasi hari ini menawarkan pilihan yang banyak. Tidak wujud monopoli. Ambil panggilan suara sebagai contoh, berapa ramai yang menggunakan syarikat telekomunikasi tempatan seperti Celcom dan Digi untuk panggilan antarabangsa? Skype dan Whatsapp lebih digemari dan penggunaan produk-produk ini mengatasi kami semua,” katanya.

Pada 6 Mei, Axiata dan Telenor mengumumkan bahawa mereka sedang berunding bagi menubuhkan entiti global yang baharu, MergedCo, dengan menggabungkan operasi mereka dalam pasaran ASEAN serta Asia Tenggara.

Cadangan urus niaga berkenaan, bertujuan untuk membolehkan MergedCo menyatukan kombinasi pengalaman, skala, kecekapan dan pengalaman kedua-dua syarikat yang luas dalam menerajui serta menguruskan pasaran sempadan dan pasaran baru muncul.

Dari sudut domestik, pelan yang dirancangkan adalah untuk menggabungkan Celcom dan Digi menjadi MalaysiaCo.

Jamaludin menafikan tanggapan bahawa penggabungan itu nanti, akan menghilangkan identiti Axiata dan seolah-olah seperti menjual aset tempatan kepada entiti asing.

“Ini adalah penggabungan, bukan pengambilalihan. MergedCo tidak akan dikuasai sama ada oleh Telenor atau Axiata,” tegas beliau sambil menambah bahawa walaupun Telenor mempunyai kepentingan majoriti, semangat kesaksamaan dalam penggabungan adalah asas kepada usaha ini.

Axiata yang muncul sebagai sebuah syarikat tunggal pada asalnya, menjadi syarikat awam tersenarai yang kelapan terbesar di Malaysia, penggabungan ini akan mewujudkan tambahan pembentukan empat syarikat gergasi di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X