Selasa, 21 Mei 2019 | 4:13pm
Tealive meluaskan operasi ke Eropah dengan cawangan pertama di Manchester, United Kingdom (UK).

Tealive buka cawangan pertama di UK

MANCHESTER: Jenama minuman segera berasaskan teh, Tealive melebarkan operasinya ke Eropah dengan pembukaan pertama cawangannya di United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Pengasas dan Ketua Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata pembukaan cawangan di UK itu sudah lama dinantikan pihaknya sejak jenama Tealive ditubuhkan di Malaysia dua tahun yang lalu.

“Mungkin ramai menganggapnya sebagai satu pencapaian yang kecil namun bagi kami, pencapaian ini adalah suatu kejayaan yang besar, lebih-lebih lagi untuk sebuah jenama dari Malaysia yang kini telah berjaya menembusi pasaran Eropah.

“Sejak adanya Tealive, kami berazam untuk membudayakan teh moden ke seluruh pelusuk Malaysia dan juga ke serata dunia. Kami juga menerima sokongan daripada ribuan pelanggan Tealive meluaskan perniagaan ke China, Vietnam dan Australia.

“Dengan pengalaman yang diperolehi semasa pembukaan kedai Tealive di Australia, kami menjadikannya sebagai panduan untuk memasuki pasaran UK,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembukaan cawangan pertama Tealive di bandar Manchester itu disambut meriah dengan pelanggan yang mengambil kesempatan untuk merasai dan menikmati keenakan rasa pelbagai jenis teh yang diadun dengan teliti oleh barisan kakitangan Tealive.

Antara perisa yang mendapat sambutan hangat pelanggan di sini termasuklah Teh Susu Pearl perisa Karamel, Matcha Latte Kacang Merah dan rangkaian Teh Ais Buah Segar yang dihidang bersama pulpa buah-buahan.

Mengulas lanjut, Loo berkata syarikatnya juga amat bertuah kerana mempunyai rakan kongsi tempatan terbaik di semua pasaran antarabangsa yang mempunyai operasi jenama berkenaan.

“Untuk pasaran UK, kami menjalin kerjasama dengan Legend Ventures Ltd (Legend Ventures),” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Legend Ventures, Samuel Chin berkata syarikatnya sudah merancang untuk membuka cawangan Tealive yang kedua di London pada tahun ini dan dijangka membuka lima cawangan Tealive dalam tahun operasi pertama.

“Kami berbesar hati kerana dapat menjalinkan usahasama bersama Loob Holding di UK kerana seperti yang kita sedia maklum, Loob Holding adalah pelopor kepada budaya teh moden di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Berita Harian X