Khamis, 23 Mei 2019 | 2:58pm
Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli (tiga dari kiri) pada pelancaran 'RHB SME e-Solutions' di Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Hafiz Sohaimi.
Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli (tiga dari kiri) pada pelancaran 'RHB SME e-Solutions' di Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Hafiz Sohaimi.

RHB sasar RM10 bilion pembiayaan PKS

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB) menyasarkan lebih RM10 bilion pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini bagi merangsang pertumbuhan ekonomi usahawan PKS tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi penawaran produk terbaik dan aplikasi yang disediakan RHB bagi memenuhi keperluan pelanggan.

“Kami sentiasa berusaha untuk menyediakan penyelesaian terbaik bagi membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran ekosistem perbankan berkaitan PKS pertama di Malaysia, menerusi platform yang dipertingkatkan iaitu 'RHB SME e-Solutions', di sini, hari ini.

Pelancaran platform perbankan digital itu adalah hasil kerjasama pertama dengan Financio, firma penyelesaian perniagaan.

Khairussaleh berkata, menerusi platform berkenaan, RHB menyasarkan 10,000 pelanggan PKS menjelang 2020.

“Kami sudah memiliki 90,000 pelanggan PKS dalam ekosistem e-penyelesaian RHB termasuk 4,000 pelanggan yang menggunakan penyelesaian perisian perakaunan bersepadu Financio.

“Justeru, menerusi platform terbaharu itu dijangka akan meningkatkan lagi kadar penembusan RHB dalam segmen PKS di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata matlamat RHB adalah untuk menyediakan khidmat melangkaui perbankan dan pinjaman untuk PKS.

“Kami menawarkan perkhidmatan mengikut keperluan mereka bagi menjalankan perniagaan. Ia juga sebagai usaha membantu PKS lebih fokus dengan perniagaan yang dijalankan mereka,” katanya.

Beliau berkata, RHB juga akan memperkenalkan lebih banyak ciri mesra perniagaan dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi membolehkan pelanggan membuat pembayaran secara langsung menerusi FPX dan DuitNow.

“Kami akan memperluaskan rangkaian kerjasama dengan rakan penyelesaian lain bagi menyediakan penyelesaian jualan, pengendali e-dompet, penyediaan gaji dan pengurusan inventori,” katanya.

RHB SME e-Solutions menawarkan ekosistem perbankan terbaik kepada PKS bagi memudahkan pengurusan aliran tunai dan kewangan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X