Isnin, 27 Mei 2019 | 3:44pm

Untung bersih suku pertama RHB Bank meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 meningkat 6.7 peratus kepada RM630.19 juta, berbanding RM590.82 juta yang dicatatkan pada suku sama 2018.

Perolehannya turut meningkat kepada RM3.35 bilion daripada RM3.13 bilion bagi tempoh yang sama.

Keuntungan sesaham meningkat kepada 15.72 sen daripada 14.73 sen sebelum ini.

RHB Bank dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, keuntungan bersih lebih tinggi itu didorong kerugian kredit dijangkakan berkurangan ke atas pinjaman dan aset kewangan lain serta perbelanjaan operasi yang rendah.

Syarikat itu berkata, pendapatan berasaskan dana kasar meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun, susulan peningkatan pinjaman kasar dan pembiayaan sebanyak 5.6 peratus manakala pendapatan berasaskan bukan dana stabil pada RM534 juta, dipacu terutama oleh pendapatan fi pasaran modal yang lebih tinggi serta lebihan penajaan jamin insurans.

RHB Bank berkata, perbelanjaan operasi susut 1.9 peratus kepada RM846.3 juta daripada angka yang dicatatkan setahun lalu, didorong kos kakitangan dan perbelanjaaan berkaitan teknologi maklumat lebih rendah.

Selain itu, katanya, peruntukan kerugian kredit adalah 36.4 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelum ini iaitu pada RM72.9 juta khususnya disebabkan peruntukan susut nilai pinjaman lebih rendah serta masuk kira semula kerugian lebih tinggi bagi sekuriti kewangan.

Melangkah ke hadapan, bank itu berkata ia kekal berhati-hati bagi tempoh baki tahun kewangan memandangkan persekitaran operasi adalah mencabar berikutan keadaan ekonomi global yang lembap serta ketegangan perdagangan berterusan.

-BERNAMA

Berita Harian X