Rabu, 29 Mei 2019 | 12:51pm

Khazanah rancang melabur dalam Vision Fund

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd bercadang melabur dalam Vision Fund milik SoftBank, selepas mengadakan rundingan awal bersama bank multinasional Jepun itu, demikian menurut laporan Nikkei Asian Review.

Laporan itu berkata, rundingan antara wakil Khazanah dan SoftBank diadakan pada April, lima bulan selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi menjemput Pengerusi SoftBank, Masayoshi Son menyertai Khazanah sebagai Pengarah dan Penasihat.

Son menolak tawaran berkenaan, dengan berkata beliau mahu menumpukan sepenuhnya kepada SoftBank.

SoftBank dilaporkan mahu menjana tambahan AS$15 bilion bagi Vision Fund, yang sebahagian besarnya disokong oleh dana kerajaan Arab Saudi.

Sejak dilancarkan dua tahun lalu, Vision Fund setakat ini melabur kira-kira AS$70 bilion dalam syarikat-syarikat teknologi di seluruh dunia.

Di luar Tokyo, Vision Fund mempunyai pejabat di London dan Silicon Valley.

Namun, dana berkenaan dilihat semakin meningkatkan tumpuannya kepada pasaran Asia.

Baru-baru ini dilaporkan Vision Fund dalam rundingan akhir untuk membuka pejabat di China dan mengembangkan pasukannya di Singapura.

Vision Fund telah melabur dalam beberapa syarikat di Asia seperti firma unicorn Hong Kong yang berasaskan pengembaraan, Klook; pemula niaga robotik China, Cloudminds; platform urus niaga kereta China, Chehaoduo; dan pemula niaga logistik India, Delhivery.

Portfolio awalnya di rantau ini termasuklah Grab, OYO, Paytm dan Tokopedia.

Berita Harian X