Jumaat, 31 Mei 2019 | 3:33pm

MAHB catat untung lebih rendah

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu kepada RM149.58 juta, berbanding RM444.59 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, perolehan meningkat tiga peratus kepada RM1.25 bilion daripada RM1.22 bilion, disumbangkan oleh pertumbuhan penumpang keseluruhan yang meningkat sebanyak 3.7 peratus.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata operasi Malaysia mencatat pertumbuhan pelanggan sebanyak 3.7 peratus kepada 25.3 juta penumpang berbanding 24.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Aliran penumpang bagi operasi di Turki pula meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada 8.1 juta penumpang berbanding 7.8 juta penumpang pada tempoh sama tahun lalu.

“MAHB kekal optimis bahawa unjuran 4.9 peratus pertumbuhan bagi 2019 akan dicapai dengan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan dijangka kekal mengatasi jangkaan,” katanya.

Rangkaian lapangan terbang MAHB mencatat jumlah penumpang sebanyak 33.4 juta pada suku dikaji, mewakili pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh yang sama, aliran penumpang antarabangsa MAHB meningkat sebanyak 3.9 peratus manakala aliran penumpang domestik meningkat sebanyak 3.6 peratus.

MAHB berkata, ergerakan pesawat kumpulan juga meningkat sebanyak 1.1 peratus dengan kedua-dua laluan antarabangsa dan domestik masing-masing meningkat sebanyak 1.4 peratus dan 0.9 peratus.

“Aliran penumpang di lapangan terbang MAHB mencatat 3.7 peratus pertumbuhan dengan 25.3 juta penumpang pada suku dikaji. Manakala aliran penumpang antarabangsa pula mencatat peningkatan 0.8 peratus kepada 13.1 juta penumpang dan aliran penumpang domestik meningkat sebanyak tujuh peratus kepada 12.2 juta penumpang.

“Pertumbuhan trafik penumpang MAHB dipacu oleh sektor domestik, sebahagian besarnya disebabkan kapasiti tempat duduk yang lebih tinggi oleh syarikat penerbangan bagi memenuhi permintaan pengangkutan udara.

“Pembetulan aliran domestik dan pengukuhan dijangka terus berlaku dan dalam masa yang sama, sektor antarabangsa turut dijangka menunjukkan peningkatan,” katanya.

Berita Harian X