Jumaat, 31 Mei 2019 | 4:12pm
Pengarah Urusan New Hoong Fatt Holdings Bhd, Chin Jit Sin. NSTP/Nurul Shafina Jemenon.
Pengarah Urusan New Hoong Fatt Holdings Bhd, Chin Jit Sin. NSTP/Nurul Shafina Jemenon.

NHF sedia RM30 juta perluas produk

KUALA LUMPUR: Pengeluar alat ganti automotif, New Hoong Fatt Holdings Bhd (NHF) memperuntukkan RM30 juta perbelanjaan modal untuk tahun ini bagi tujuan pengembangan produk dan pembangunan modal insan.

Pengarah Urusannya, Chin Jit Sin, berkata syarikat akan meneruskan strateginya untuk berkembang di ASEAN menerusi pengenalan pelbagai produk termasuk membangun dan menambah lebih banyak produk di pasaran bagi meningkatkan pertumbuhan pendapatannya.

"Kami akan terus membangunkan momentum yang telah dibina setakat ini dan meningkatkan penawaran produk.

"Syarikat telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak beberapa tahun kebelakangan ini ke dalam kemudahan pengeluaran kami dan akan secara beransur-ansur mengembangkannya apabila diperlukan bagi membantu memudahkan pertumbuhan ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) NHF (AGM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jit Sin berkata pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi kemudahan pengeluarannya di Meru, Selangor memandangkan kadar penggunaan kilangnya itu ketika ini adalah 70 peratus.

Kilang itu mampu mengeluarkan sehingga enam juta alat ganti automotif setahun.

Tambahnya, pasaran ASEAN kekal menjadi tumpuan utama syarikat itu yang dilihat mempunyai potensi besar di rantau ini, dengan jumlah pendaftaran kenderaan kira-kira 220 juta sehingga 2017.

"Sudah tentu semua kenderaan ini memerlukan penukaran alat ganti apabila tiba masanya nanti dan di sinilah di mana kami memainkan peranan penting sebagai pembekal utama alat ganti di rantau ini.

"Oleh itu, kami akan terus berkembang selagi kenderaan di jalan raya terus bertambah pada setiap masa. Selain itu, kami juga mendapat manfaat daripada liberalisasi perdagangan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) yang meningkatkan daya saing syarikat.

“Ketika kami meneruskan perjalanan pengembangan kami, ASEAN akan menjadi pasaran utama NHF memandangkan prospeknya yang luar biasa," katanya.

NHF mencatatkan rekod dalam pendapatan 2018 sebanyak RM257 juta, meningkat 2.6 peratus daripada RM250.6 juta pada tahun sebelumnya berikutan permintaan yang lebih tinggi daripada pasaran tempatan.

Bagaimanapun, pendapatan NHF dari pasaran luar negara terjejas susulan kesan pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan.

Jualan di pasaran tempatan menyumbangkan 48.7 peratus kepada jumlah pendapatan dalam tahun kewangan 2018 dengan baki 51.3 peratus daripada jualan eksport.

Berita Harian X