Jumaat, 31 Mei 2019 | 6:23pm

PETRONAS catat untung RM14.2b suku pertama

KUALA LUMPUR: PETRONAS meraih untung bersih RM14.2 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, melonjak 9.0 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong pendapatan tinggi dan kadar tukaran ringgit yang lebih rendah.

Bagi tempoh dikaji, syarikat minyak nasional itu mencatat pendapatan berjumlah RM62 bilion, menokok 7.0 peratus daripada RM57.9 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Prestasi kukuh pada suku pertama tahun ini, menyaksikan PETRONAS membayar dividen berjumlah RM12 bilion, iaitu sebahagian daripada pembayaran dividen dikecualikan cukai khas yang diluluskan sebanyak RM300,000 bagi setiap saham biasa berjumlah RM30 bilion yang diumumkan pada November 2018. Baki RM18 bilion lagi akan dibayar antara April 2019 hingga November 2019.

PETRONAS dalam kenyataan berkata, prestasi kukuh tiga bulan pertama tahun ini disokong strategi tiga arah iaitu memaksimumkan penjanaan tunai, memperluaskan rantaian nilai dan meneroka usaha sama baharu.

“Keputusan kewangan ini disokong usaha berterusan dalam operasi cemerlang dan fiskal berdisiplin.

“Pendapatan PETRONAS lebih tinggi disumbangkan jumlah jualan yang lebih tinggi bagi produk petroleum dan gas asli cecair (LNG), ditambah pula dengan kadar pertukaran ringgit lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Ia sebahagiannya diimbangi oleh harga purata lebih rendah terutama bagi produk petroleum, minyak mentah dan kondensat,” katanya.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) PETRONAS tumbuh sebanyak 11 peratus kepada RM27.8 bilion berbanding RM25 bilion bagi suku sama tahun lalu selaras dengan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi kepada RM18.9 bilion.

Aliran tunai operasi operasi pula meningkat kepada RM23.2 bilion, melonjak enam peratus daripada RM21.9 bilion.

Bagaimanapun, jumlah aset menyusut kepada RM636.2 bilion setakat 31 Mac 2019 daripada RM636.3 bilion.

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM389.1 bilion berbanding RM380.5 bilion bagi tempoh sama tahun lalu dipacu oleh keuntungan yang dijana pada tempoh dikaji.

Mengenai prospek minyak dan gas (O&G), PETRONAS menjangkakan industri terus berdepan persekitaran mencabar disebabkan ketidakpastian dalam pasaran serta risiko geopolitik.

“Kumpulan akan mengekalkan usaha mendisiplinkan kos dan memacu operasi cemerlang dalam usaha menggarap strategi pertumbuhan.

“Lembaga Pengarah menjangkakan prestasi setahun penuh PETRONAS akan terjejas dengan peningkatan ketidaktentuan dalam harga minyak dan pergerakan pertukaran asing,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata walaupun berdepan ketidakpastian pasaran, PETRONAS bagaimanapun akan terus melabur pada masa depan.

“Baru-baru ini, kami memperluaskan portfolio Huluan kami menerusi pengambilalihan medan minyak Tartaruga Verde di Brazil. Langkah strategik kami adalah menjangkaui O&G di mana pelaburan terkini dalam tenaga boleh diperbaharui dan bahan kimia khusus,” katanya.

Berita Harian X