Selasa, 11 Jun 2019 | 4:16pm

Bursa Malaysia lancar depositori mudah alih

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd hari ini melancarkan secara rasmi aplikasi mudah alih baharu dikenali Bursa Anywhere bagi membolehkan pelabur individu mengakses perkhidmatan depositori pusat (CDS) di mana-mana dan pada bila-bila masa saja.

Ia adalah perkhidmatan depositori mudah alih yang pertama seumpamanya dilancarkan di ASEAN dan kedua di Asia selepas Taiwan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata Bursa Anywhere akan menjadi platform elektronik bagi pelabur runcit menguruskan akaun CDS mereka.

Beliau berkata, aplikasi mudah alih itu membolehkan pelabur merasai pengalaman berterusan apabila mengakses maklumat atau melaksanakan pengurusan akaun CDS mereka.

Katanya, pihaknya berharap dengan pelancaran aplikasi perkhidmatan depositori mudah alih itu akan meningkatkan lagi penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham tempatan.

“Kami menyasarkan untuk menyampaikan pengalaman terbaik kepada kira-kira dua juta pemegang akaun CDS dengan menyediakan akses kepada maklumat, pergerakan dan trend diperlukan yang akan membuka peluang baharu kepada mereka,” katanya pada pelancaran Bursa Anywhere di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia, Datin Azalina Adham, Pengerusi Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia, Datuk Ahmad Azman Abdul Manaf dan Pengerusi Jawatankuasa Broker Saham Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), Lok Eng Hong.

Bursa Anywhere kini boleh dimuat turun dari Google Play dan Apple App Store dan boleh digunakan oleh pendeposit individu sebaik mendaftar perkhidmatan itu.

Dengan mendaftar di Bursa Anywhere, pelabur Bursa Malaysia boleh melihat baki pegangan saham dalam semua akaun langsung CDS mereka; mengakses dan muat turun penyata akaun bagi 12 bulan; mengemas kini butiran pendeposit khusus dan menerima pemberitahuan berkaitan pegangan saham mereka seperti pengumuman mengenai kelayakan.

Pada peringkat permulaan, Bursa Anywhere boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih sementara bagi versi laman web pula boleh digunakan menjelang suku keempat 2019.

Berita Harian X