Jumaat, 14 Jun 2019 | 8:15am

YTL Corp rancang nyah senarai YTL Land

KUALA LUMPUR: YTL Corporation Bhd (YTL Corp) mengumumkan rancangan untuk nyah senarai cabang pembangunan hartanahnya, YTL Land & Development Bhd (YTL Land), menerusi pertukaran saham bersyarat.

Dalam satu kenyataan, konglomerat itu berkata ia berhasrat membeli kesemua baki saham yang tidak dimilikinya dalam YTL Land pada harga 36 sen sesaham melalui terbitan saham YTL Corp baharu.

“Saham YTL Corp baharu akan diterbitkan pada harga RM1.14 setiap satu dan harga tawaran diterjemahkan kepada nisbah pertukaran kira-kira 0.32 saham YTL Corp untuk setiap saham YTL Land,” katanya.

Ia juga menawarkan untuk menukar saham pinjaman tidak bercagar boleh tukar tidak boleh tebus (ICULS) YTL Land kepada 32 sen bagi saham baharu YTL Corp, yang juga akan diterbitkan pada RM1.14 setiap satu.

Ini diterjemahkan kepada nisbah pertukaran 0.28 saham pertimbangan bagi setiap tawaran ICULS.

Berdasarkan 288.05 juta saham tawaran dan 208.78 juta ICULS tawaran pada 7 Jun, tarikh sesuai terkini sebelum notis berkenaan, YTL Corp mungkin menerbitkan sehingga 149.57 juta saham pertimbangan mengikut tawaran itu, dengan anggapan bahawa tawaran itu diterima oleh semua pemegang.

Jika YTL Corp dan syarikat sekutunya dapat menguasai lebih 75 peratus tetapi kurang daripada 90 peratus saham tersenarai YTL Land pada akhir tempoh pelaksanaannya, syarikat akan berusaha nyah senarai YTL Land daripada Bursa Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X