Jumaat, 14 Jun 2019 | 3:49pm

266,000 pelanggan Streamyx dinaik taraf ke Unifi

CYBERJAYA: Telekom Malaysia Bhd (TM) sudah menaik taraf 266,000 pelanggan Streamyx kepada Unifi setakat 30 April lalu, kata Ketua Pegawai Operasinya, Imri Mokhtar.

“Seramai 266,000 pelanggan Streamyx ini adalah mereka yang berada dalam kawasan Unifi, manakala 226,000 pelanggan Streamyx yang tidak berada dalam kawasan Unifi, kami sudah tingkatkan kelajuan kepada dua kali ganda.

“Selain itu, 973,000 pelanggan Unifi menaiktaraf kelajuan kepada 10 kali ganda setakat 30 April lalu,” katanya pada majlis menandatangani ikrar mesra pelanggan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini, hari ini.

Sementara itu, SKMM menambah baik Kod Amalan Pengguna yang akan dikuatkuasakan pada suku keempat tahun ini.

Menerusi penambahbaikkan kod berkenaan, syarikat telekomunikasi perlu menyelesaikan aduan kurang kompleks dalam tempoh tiga hari bekerja berbanding 15 hari bekerja sebelum ini.

Bagi aduan kompleks pula, syarikat berkaitan perlu menyelesaikan aduan dalam tempoh 15 hari bekerja daripada 30 hari bekerja pada masa ini.

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, berkata kod amalan yang ditambah baik itu diperketatkan untuk melindungi pengguna dan meningkatkan kecekapan syarikat telekomunikasi dalam menyelesaikan aduan.

“Kod amalan ini juga memperketatkan perlindungan pengguna dari aspek pengiklanan bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Selain TM, syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, TIME dotcom Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd turut memeterai ikrar mesra pelanggan berkenaan.

Berita Harian X