Jumaat, 14 Jun 2019 | 4:17pm
PERKHIDMATAN mengisi minyak bergerak yang pertama di Malaysia, ROVR.

PETRONAS perkenal khidmat isi minyak bergerak

KUALA LUMPUR: PETRONAS melalui anak syarikatnya, Petronas Dagangan Bhd (PDB) menawarkan perkhidmatan mengisi minyak bergerak yang pertama di Malaysia dikenali sebagai ROVR.

Perkhidmatan inovatif ROVR membolehkan pengisian bahan api yang lancar dan selamat bagi kedua-dua pemandu komersial dan harian di luar stesen minyak konvensional.

ROVR yang dimulakan sejak percubaannya pada Oktober 2018 berjaya menawarkan penyelesaian kepada pelanggan komersial (B2B) dengan lebih sejuta liter bahan api.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata perkhidmatan ROVR bakal diteroka untuk pasaran yang lebih luas selepas menerima maklum balas positif daripada pelanggan B2B dan PDB.

Beliau berkata, trak pengisian minyak ROVR dijamin selamat dan diperakui untuk penghantaran dan pengeluaran minyak mematuhi keperluan ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan pengawalseliaan.

“Semua trak ROVR dilengkapi dengan sensor untuk memantau maklumat penting dan mengekalkan keselamatan operasi sepanjang tempoh perkhidmatan. Barisan jentera ROVR terdiri daripada sebuah trak berkapasiti 4,000 liter dan tiga trak 11,000 liter untuk pelanggan komersial.

“Trak dengan kapasiti 3,000 liter untuk pengguna akhir kerana masih dalam peringkat ujian. PDB akan mengembang perkhidmatan ROVR ke seluruh negara serta menambah lebih banyak tapak pengisian minyak menjelang hujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ROVR menyediakan penghantaran berjadual PETRONAS Diesel Dinamik kepada pelanggan B2B dan membolehkan proses mengisi bahan api berlaku pada kemudahan pelanggan di premis mereka.

Berita Harian X