Isnin, 17 Jun 2019 | 11:47am
NEXEA Angels Sdn Bhd
NEXEA Angels Sdn Bhd

NEXEA bantu syarikat pemula niaga berkembang

KUALA LUMPUR: Firma pelaburan, NEXEA Angels Sdn Bhd (NEXEA), melancarkan Program Rintis Syarikat Permulaan-Korporat yang bertujuan mempertemukan syarikat pemula niaga teknologi tempatan dengan firma korporat bagi mengenal pasti dan meneroka peluang kerjasama.

Program dianjurkan dengan usaha sama organisasi besar seperti Digi, HELP University, Rhombus Connexion dan Spritzer.

Melalui program berkenaan, syarikat pemula niaga akan berpeluang meneroka projek rintis dengan organisasi terbabit, mengesahkan perniagaan dengan maklum balas organisasi, meneroka pengujian keluaran dunia sebenar dan membina tarikan dengan organisasi itu sebagai pelanggan berpotensi.

Selain itu, syarikat pemula niaga juga mendapat bantuan mentor daripada NEXEA dan berpeluang dibiayai oleh NEXEA dan rakan-rakan pelaburan bersamanya.

Program Rintis Syarikat Permulaan-Korporat akan bermula bulan depan dan berlangsung sekali dengan program pemecut syarikat permulaan NEXEA.

Program Rintis Syarikat Permulaan-Korporat terbuka kepada syarikat permulaan yang berpangkalan di Malaysia dari peringkat idea sehingga pra-siri A.

Permohonan terbuka sekarang dan akan ditutup pada 24 Jun ini.

NEXEA berharap dapat mendaftarkan syarikat permulaan dalam bidang keterkaitan, teknologi kewangan, internet kebendaan, penyelesaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS), makanan dan minuman, pendidikan, kesihatan serta perkhidmatan rumah.

Pengarah Urusan NEXEA, Ben Lim, berkata Program Rintis Syarikat Permulaan-Korporat akan merapatkan jurang antara syarikat permulaan dan peserta industri.

“Banyak syarikat pemula niaga menginginkan hubungan kerja dengan entiti korporat, namun banyak juga yang tidak dapat mencapainya kerana pelbagai sebab.

“Tahun ini, di samping menjalankan Program Pemecut Syarikat Permulaan seperti biasa, kami membawakan sesuatu yang berbeza ke ekosistem iaitu platform syarikat pemula niaga mendapat capaian langsung kepada syarikat korporat supaya mereka dapat meneroka kerjasama berpotensi.

“Kami gembira Digi, HELP University, Rhombus Connexion dan Spritzer turut serta dalam misi kami membantu menyediakan kefahaman mendalam pakar dan peluang untuk syarikat-syarikat permulaan dalam program ini,” katanya.

Usahawan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan ketua inovasi berpengalaman daripada organisasi yang mengambil bahagian akan membabitkan diri dalam program berkenaan.

NEXEA mempunyai kumpulan mentor berpengalaman yang kebanyakannya usahawan, separuh daripadanya pernah memegang jawatan tertinggi seperti CEO dan beberapa daripadanya pernah berjaya memimpin syarikat ke peringkat tawaran awam permulaan (IPO).

Berita Harian X