Isnin, 17 Jun 2019 | 2:24pm
Kilang UWC Bhd

UWC sasar tingkat kapasiti pengeluaran

KUALA LUMPUR: UWC Bhd (UWC), yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Julai ini menyasarkan kapasiti pengeluaran tahunannya meningkat sebanyak 18.6 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Peningkatan kapasiti pengeluarannya itu akan membolehkan penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu yang berpangkalan di Pulau Pinang itu memenuhi permintaan eksport, selain mengukuhkan pendapatan tahunannya.

Pengarah Eksekutif dam Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ng Chai Eng, berkata UWC bercadang membeli 29 mesin ‘Computer Numeric Control’ (CNC) bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menambah baik kecekapan pengeluaran.

Dana pembelian mesin itu, katanya akan dijana menerusi tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan sebanyak RM57.4 juta, yang mana 56 peratus atau RM32.1 juta akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan.

“Pembelian mesin baharu ini perlu bagi membolehkan kami meningkatkan pengeluaran bagi menampung permintaan daripada pelanggan berpotensi dan sedia ada.

“Apabila kapasiti pengeluaran mampu dipertingkatkan, ia juga akan membolehkan UWC meraih pendapatan yang lebih tinggi berbanding ketika ini.

“UWC juga meninjau pasaran eksport ke beberapa negara yang berpotensi melalui kerjasama global. Ini kerana pasaran eksport kami ketika ini mewakili 40 peratus daripada pendapatan kumpulan,” katanya selepas pelancaran prospektus UWC di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas UWC, Datuk Wan Hashim Wan Jusoh; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Bhd, Lee Jim Leng serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi UWC, Lau Chee Kheong.

Pasaran eksport UWC mewakili 40 peratus daripada pendapatan dan negara pasaran utama adalah Singapura, Amerika Syarikat, China, Perancis dan United Kingdom.

Chai Eng berkata, UWC juga bakal mendapat manfaat daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, yang membantu meningkatkan kemasukan pelaburan asing ke Malaysia.

Ini, katanya akan membolehkan UWC memacu nilai pesanannya jika banyak firma multinasional menjadikan Malaysia sebagai lokasi pengeluaran mereka.

“Kami melihat kepada pelbagai sudut peluang, sama ada peningkatan kontrak daripada pasaran tempatan atau meninjau peluang menambahkan lagi peratusan eksport.

“UWC yakin bahawa pendapatan kumpulan akan terus meningkat walaupun ekonomi global berdepan dengan situasi sukar selain kos bahan mentah yang tidak konsisten,” katanya.

Pada 2018, UWC memindahkan operasinya daripada dua lapangan di Bukit Minyak, Pulau Pinang ke lapangan pengeluaran baharunya di Batu Kawan.

Ini bagi memuatkan lebih banyak mesin dan peralatan serta lajur pemasangan tambahan bagi memenuhi permintaan pelanggannya yang semakin bertambah.

Berita Harian X