Isnin, 17 Jun 2019 | 8:04pm

DBhd, MBNSI bangunkan projek pembangunan bercampur bernilai RM771 juta

KUALA LUMPUR: Damansara Realty Bhd (DBhd) bekerjasama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Incorporation) (MBNSI) untuk membangunkan projek pembangunan bercampur di atas tanah komersil seluas 20.23 hektar bernilai lebih RM771 juta di Seri Sendayan, Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, DBhd berkata, projek itu terdiri daripada lot kedai, podium komersial dan unit kediaman yang dijangka akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM771 juta itu dijangka bermula pada tahun depan dengan dibangunkan secara berperingkat.

“Fasa 1 dijadualkan bermula pada Januari 2020 dan disasarkan siap pada tahun 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan DBhd, Brian Iskandar Zulkarim, berkata pihaknya amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan MBNSI sebagai rakan kongsi dalam projek pertamanya di Negeri Sembilan.

"Disokong oleh kepakaran kami yang kukuh dalam pembangunan kediaman dan perbandaran serta perancangan hospital, kami yakin gabungan kekuatan dengan MBNSI akan memberikan tambahan kelebihan dan pertumbuhan kepada ekonomi negeri, "katanya.

Tanah seluas 20.23 hektar milik MBNSI itu terletak berhampiran kawasan pertumbuhan utama Seremban, Seremban 2, Sepang dan Nilai, dalam lingkungan memandu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

dan KLIA2.

Ia juga mempunyai sambungan yang strategik ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Projek Maju Expressway (MEX) 2 yang dijangka siap pada tahun 2020.

ends/

Berita Harian X