Selasa, 18 Jun 2019 | 4:30pm
HSS Engineers Bhd

HSS jangka lebih banyak projek akan dilaksana

PETALING JAYA: Perunding kejuruteraan dan pengurusan projek, HSS Engineers Bhd menjangkakan lebih banyak projek akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.

Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Kunasingam V Sittampalam, berkata selain daripada projek tempatan, kumpulan itu juga giat mencari projek di Indonesia dan Filipina susulan rantau ASEAN sedang mengalami kerancakan pembangunan infrastruktur.

“Kami akan terus memanfaatkan kepakaran dan rekod baik kami untuk menender projek dalam sektor kereta api, jalan raya dan air, serta memastikan nilai kontrak kami lebih RM500 juta,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, sektor pembinaan kini dilihat mempunyai asas lebih kukuh dengan penerusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di samping tender turut dibuka bagi projek air.

HSS Engineers mempunyai nilai kontrak lebih RM300 juta dalam sektor rel, jalan raya dan air.

“Dengan pemulihan sektor pembinaan dan projek sektor air yang dijangka bakal dilaksanakan, kami berada di kedudukan baik untuk mendapatkan projek berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk B Nitchiananthan, berkata HSS Engineers akan memberi tumpuan pada kontrak jangka panjang dalam sektor tenaga kuasa membabitkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biogas dan biomass.

“Kami akan menceburi industri tenaga boleh diperbaharui dengan menyasarkan kontrak jangka panjang, yang akan dapat memberikan asas perolehan yang stabil kepada kumpulan,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X