Rabu, 19 Jun 2019 | 3:21pm
Alam Maritim Resources Bhd (AMRB)

Kontrak RM990 juta teruskan kelangsungan AMRB

KUALA LUMPUR: Alam Maritim Resources Bhd (AMRB) memperoleh tempahan kontrak RM990 juta yang akan meningkatkan pendapatannya bagi tahun kewangan 2019.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan AMRB, Datuk Azmi Ahmad, berkata daripada tempahan kontrak itu, 30 peratus akan diperoleh pada tahun ini manakala bakinya akan diperoleh dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang.

Katanya, tempahan kontrak terbabit akan membantu penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas bersepadu itu meningkatkan pendapatan selepas mencatatkan penurunan dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Beliau berkata, tempahan kontrak itu terdiri daripada kontrak perkhidmatan bawah laut sebanyak RM500 juta, pemasangan dan pembinaan luar pesisir (OIC) sebanyak RM250 juta dan kapal sokongan luar pesisir (OSV) sebanyak RM240 juta.

“Kontrak yang diperoleh kumpulan itu akan memastikan kelangsungan operasi kami dalam dua hingga lima tahun akan datang.

“Ia juga sebahagian daripada peralihan segmen perniagaan utama kami yang sebelum ini banyak tertumpu kepada OSV kepada penyedia perkhidmatan maritim bersepadu dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam perkhidmatan OIC dan bawah laut.

“Strategi ini juga selaras dengan prospek jangka sederhana minyak mentah yang menyediakan banyak peluang bagi kepakaran OIC dan bawah laut kerana Malaysia mempunyai sejumlah besar aset luar pesisir,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AMRB di sini, hari ini.

Azmi berkata, kumpulan juga merancang mengurangkan senarai kapal lautnya sebanyak sembilan buah kapal daripada 39 buah kapal ketika ini sebagai langkah mengoptimumkan asetnya itu.

AMRB sudah menjual empat kapalnya dan merancang melupuskan lima lagi kapal dalam tahun ini.

“Kami mengurangkan bilangan kapal dan memberi tumpuan kepada kapal tertentu seperti kapal sokongan platform dan pengendalian kapal pengendalian tunda utama,” katanya.

Berita Harian X