Jumaat, 21 Jun 2019 | 6:19pm

i-Stone jangka kumpul RM39.1 juta daripada penyenaraian di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR: i-Stone Group Bhd, pakar mesin automasi pembuatan tempatan, menjangkakan dapat mengumpul hasil berjumlah RM39.1 juta daripada cadangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, i-Stone berkata tawaran awam awal (IPO) itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 244.3 juta saham biasa baharu dalam i-Stone, dan tawaran penjualan 122.1 juta saham sedia ada menerusi tawaran persendirian kepada pelabur terpilih dalam i-Stone pada harga terbitan RM0.16 sesaham.

Pengarah Urusan i-Stone, Tee Sook Sing, berkata hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk pembangunan proses dan produk syarkat, pembayaran balik pinjaman bank, pembinaan pusat reka bentuk dan pembangunan baharu di pusat operasi sedia ada di Taman Teknologi, Johor.

“Ia juga akan digunakan untuk pembelian mesin dan perisian baharu untuk meningkatkan keupayaan pembuatan, pembelian cabang robotik baharu, membiayai keperluan modal kerja serta membayar perbelanjaan penyenaraian IPO terbabit,” katanya.

Sook Sing berkata, syarikat telah menempatkan semua operasi pembuatan di kemudahan pembuatan baharu di Taman Teknologi untuk meningkatkan kecekapan dan pengeluaran keseluruhan.

“Perpindahan ke kemudahan baharu yang dijalankan sejak Oktober tahun lepas menandakan satu lagi fasa pengembangan syarikat untuk menjadi penyedia lengkap dalam industri automasi pembuatan," katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan rancangan pertumbuhan syarikat, pihaknya akan membeli jentera canggih dan baharu seperti CNC dan CMM untuk meningkatkan kapasiti fabrikasi.

“Kami amat yakin bahawa berasaskan pelan masa depan ini kami dapat menyediakan penyelesaian automasi serta pembangunan produk baharu untuk memenuhi permintaan pelanggan sedia ada dan baharu terhadap pengeluaran dan kecekapan lebih tinggi,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X