Isnin, 24 Jun 2019 | 4:29pm
Shahazwan Harris.
Shahazwan Harris.

TNB lantik Shahazwan sebagai Ketua Pegawai Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan pelantikan Shahazwan Harris sebagai Ketua Pegawai Antarabangsa bagi memimpin International Asset Group (IAG), berkuat kuasa 1 Julai ini.

IAG adalah bahagian baharu TNB yang akan mengembangkan prospek pertumbuhan usaha sama di luar negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan, berkata pembabitan Shahazwan dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, teknologi, utiliti, penerbangan, pembangunan mampan (termasuk tenaga boleh diperbaharui), minyak dan gas serta penjagaan kesihatan amat bernilai kepada strategi jangka panjang TNB untuk menjadi antara 10 Utiliti Global teratas pada 2025.

“Pengurusan TNB yakin pengetahuan, pengalaman dan pendedahan yang diperolehi Shahazwan mampu mendukung pertumbuhan masa depan perniagaan IAG,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahazwan ketika ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi di UEM Edgenta Bhd, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau memiliki 23 tahun pengalaman dalam bidang pelaburan, penggabungan dan pengambilalihan, portfolio dan pengurusan aset, serta strategi dan penstrukturan korporat semula.

Selain itu, Shahazwan adalah penerima biasiswa TNB dan pernah berkhidmat bersama syarikat selama empat tahun sejak 1996 sebelum kemudiannya bekerja di PA Consulting Group, Boston Consulting Group dan Khazanah Nasional Bhd (dari 2005 hingga 2016).

Selepas Khazanah, beliau menyertai lembaga pengarah Cenviro, Opus International Consultants Limited (yang disenaraikan di Bursa Saham New Zealand) dan UEM Edgenta; selain menjadi penasihat kepada Bain & Co (Kuala Lumpur/Asia Tenggara) dan Temasek International (mengenai kemampanan dan pelaburan berimpak).

Pembabitan antarabangsa TNB ketika ini merangkumi pemilikan ekuiti dalam aset berkaitan tenaga di United Kingdom, Turki, India, Arab Saudi dan Pakistan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X