Selasa, 25 Jun 2019 | 12:45pm
Pengarah Urusan Kumpulan Affin Hwang Capital, Datuk Maimoonah Hussain (kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Emelia Matrahah menandatangani perjanjian strategik. - NSTP/Affin Hwang Capital-MIMOS

Affin Hwang Capital, MIMOS perkenal platform analisis digital pasaran

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Capital dan MIMOS Bhd, menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan platform analisis digital bagi pasaran saham Malaysia.

Kerjasama strategik ini bertujuan untuk membangunkan platform analisis yang berkelajuan tinggi, lebih pintar dan berfungsi secara automatik dalam menyaringkan saham kecil dan pertengahan dibawah nilai pasaran.

Pengarah Urusan Kumpulan Affin Hwang Capital, Datuk Maimoonah Hussain berkata, inisiatif itu dijangka akan membuka peluang yang luas untuk pihaknya mempercepatkan pembangunan produk inovatif dalam ruang perbankan pelaburan.

“Pembangunan kemudahan analisis digital inovatif ini akan digunakan dan dimanfaatkan oleh rakan-rakan industri, usahawan tempatan dan PKS.

“Inisiatif ini juga selari dengan matlamat kami untuk “Out think. Out perform” dan terus menerokai inovasi digital disamping menawarkan perkhidmatan penyelesaian kewangan yang baik dan bermanfaat kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, pada Jun 2018, pihaknya telah melancarkan Islamic Securities Selling and Buying Negotiated Transaction (ISSBNT) yang pertama diluluskan oleh Bursa dan pada Januari tahun ini, Affin Hwang Capital melancarkan Retail Securities Borrowing and Lending (SBL).

Maimoonah berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan MIMOS dalam membangunkan satu lagi inovasi yang akan menjadi salah satu produk dan perkhidmatan yang bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pelanggannya tetapi pasaran saham Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi MIMOS, Thillai Raj berkata, kerjasama ini sejajar dengan Industry4WRD (Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0) di mana industri tempatan dijangka memanfaatkan teknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan, Blockchain, Big Data dan Pengautomatan Proses Robotik untuk mengoptimumkan kecekapan dan produktiviti mereka.

“MIMOS memulakan penyelidikan FinTech pada 2017 dengan memberi tumpuan kepada penggunaan perisian keselamatan dan peralatan pintar untuk memproses jumlah data yang besar serta membolehkan penggunaan Teknologi Kawal Selia (RegTech) ke arah meningkatkan keberkesanan pengawalseliaan.

“Kerjasama dengan Affin Hwang Capital adalah inisiatif terbaru kami dalam memperkukuh komitmen MIMOS untuk memajukan pertumbuhan FinTech di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X