Selasa, 25 Jun 2019 | 6:09pm
KETUA Pegawai Operasi Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli. - Foto Azhar Ramli

BDB mahu aktif terbabit dalam pembangunan infrastruktur Kedah

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB) komited untuk membabitkan diri secara aktif dalam projek pembangunan infrastruktur di negeri Kedah termasuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dan Lebuh Raya Koridor Utara.

Pada Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, mengumumkan tujuh projek mega yang membabitkan pembangunan prasarana dan kebajikan rakyat di Kedah dengan peruntukan kos lebih RM3.2 bilion.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, berkata, sebagai satu-satunya syarikat berkaitan kerajaan yang disenaraikan di Kedah, BDB secara umumnya akan membantu segala agenda yang bakal mendatangkan kebaikan kepada negeri terbabit.

Menurutnya, pihak syarikat, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sedang giat menjalankan perbincangan lanjut sejak Februari lalu berhubung projek terbabit.

“Kami memiliki kapasiti dan kepakaran untuk membantu. Dari segi bahan pembinaan BDB memiliki kuari dan kami juga memiliki kepakaran dalam penyenggaraan jalan untuk pembangunan lebuh raya.

“Antara projek BDB yang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan persekutuan ialah Projek Perumahan Rakyat Jerlun yang kini berada pada tahap 30 peratus lebih awal berbanding jadual,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama antara BDB, Koperasi Telekom Malaysia (Kota Mas) dan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam).

Hadir sama, Pengerusi Kota Mas, Zailan Mohd Diah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.

Sementara itu, majlis menyaksikan Kota Mas menerima secara rasmi Surat Tawaran Pembiayaan Perumahan daripada Bank Islam dan menyerahkan Surat Tunjuk Minat Projek Perumahan Darulaman Perdana kepada BDB.

Zailan berkata, kerjasama itu akan memudahkan anggota koperasi untuk mendapatkan pembiayaan dan menikmati kelebihan yang ditawarkan pihak Bank Islam dan BDB.

Menurutnya, usaha sama itu juga dijangka menarik minat kakitangan Telekom Malaysia dan anak syarikat untuk menjadi anggota Kota Mas yang kini memiliki 14,000 anggota, sekali gus berpeluang menikmati kelebihan sedia ada.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan jumlah anggota kepada 20,000 dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Iskandar berkata, tawaran pembelian bagi Projek Perumahan Darulaman Perdana adalah membabitkan 16 unit rumah teres dua tingkat Fuchsia yang dibina di kawasan perbandaran Darulaman Perdana yang terletak di Sungai Petani, Kedah.

Berita Harian X