Khamis, 27 Jun 2019 | 5:32pm

Touch 'n Go sasar 80,000-90,000 peniaga menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR: Touch ‘n Go menyasarkan bilangan peniaga di platformnya meningkat kepada 80,000-90,000 orang menjelang akhir tahun ini berbanding 70,000 peniaga, setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin, berkata komuniti peniaga itu juga dijangka terus meningkat seiring dengan jumlah pengguna Touch ‘n Go.

"Ia kini masih dalam proses awal dan kita turut mendidik peniaga terbabit mengenai kaedah bagi mewujudkan promosi untuk platform e-dompet syarikat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada acara forum bertajuk 'Rahsia Tanpa Tunai : E-dompet vs Tunai - Mana Lebih Selamat?' anjuran TNG Digital Sdn Bhd dengan kerjasama Nielsen Malaysia.

Malah, bersempena forum itu, khidmat e-dompet Touch 'n Go turut memperkenalkan Dasar Jaminan Wang Dikembalikan iaitu polisi perlindungan dan keselamatan yang pertama seumpamanya untuk pembayaran mudah alih di Malaysia.

Dasar eksklusif untuk khidmat e-dompet terbabit adalah antara usaha memastikan hak dan akaun penggunanya selamat menerusi gabungan keselamatan dan kemudahan dalam satu aplikasi.

Menerusi dasar itu, pengguna e-dompet itu boleh melaporkan sebarang transaksi tidak sah dan menuntut pulang dengan hanya mendaftar masuk ke dalam aplikasi berkenaan atau mengunjungi laman sesawang tngd.my/mbg.

Apabila akaun itu disahkan, perlindungan jaminan wang dikembalikan itu akan diaktifkan dengan lambang perlindungan e-dompet tertera di butang profil pengguna.

Selain itu, Syahrunizam berkata satu pertiga daripada sumber Touch 'n Go itu diperuntukkan bagi tujuan pengurusan risiko yang amat kritikal bagi melancarkan fungsi e-dompet terbabit.

Secara amnya, beliau berkata, penembusan e-dompet mencecah lapan peratus di Malaysia dan Touch ‘n Go juga berharap ianya dapat setanding dengan kadar penembusan kad kredit sebanyak 16 peratus.

"Kita berharap dapat menarik penyertaan lebih ramai pengguna dalam e-dompet dan membolehkan kita berada dalam landasan digital dengan lebih pantas," katanya.

Menurutnya, apa lebih penting adalah mewujudkan lebih banyak ekonomi tanpa tunai yang mana semuanya lebih bersifat inklusif.

Industri e-dompet itu dikawal selia oleh pihak Bank Negara Malaysia bagi memastikan amalan aspek pematuhan, tadbir urus dan standard keselamatan serta transaksi selamat untuk para penggunanya.

Touch ‘n Go mempunyai lebih 4.3 juta pengguna dengan lebih 50,000 titik atau lokasi penerimaannya.

Malah, sejak lebih 20 tahun lamanya, Touch ‘n Go telah berjaya memproses lima juta transaksi sehari dengan 25 juta kad aktif dalam edaran ketika ini. - BERNAMA

Berita Harian X