Selasa, 2 Julai 2019 | 3:10pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

MAHB teruskan pelan pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia meneruskan rancangan untuk membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata MAHB sudah menjalankan projek pembesaran itu sejak dua tahun lalu dengan membawa perunding untuk merangka pelan pembinaan terperinci selepas berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MoT), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan kerajaan negeri Pulau Pinang, termasuk Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Pelan pembesaran itu sudah sedia untuk diserahkan pada akhir Julai 2019 bagi memperoleh kelulusan perancangan dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), selepas projek itu mendapat kelulusan yang diperlukan dari MAVCOM, MoT dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) sebagai pemilik tanah,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam kenyataannya, hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada laporan berita bertajuk ‘Isu operasi dan halangan kepada inisiatif swasta untuk lapangan terbang’ yang memetik Kon Yeow sebagai berkata bahawa beberapa isu telah menghalang perkembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

MAHB berkata, syarikat itu kini berbincang dengan pelbagai pihak mengenai pilihan model pelaburan dan pembiayaan.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, ia telah mengemukakan permohonan untuk membiayai sepenuhnya projek itu menerusi rangka kerja Aset Kawalan MAVCOM (RAB) dan kini menunggu kelulusan.

Menurut MAHB, sebaik pelbagai pelan berkaitan diluluskan oleh MBPP, pembinaan bermula pada suku pertama tahun depan.

-BERNAMA

Berita Harian X