Rabu, 3 Julai 2019 | 1:56pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin pada majlis kerjasama skim Jaminan Borong (WG).

CGC, OCBC tawar biaya RM250 juta untuk PKS

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan OCBC Malaysia bekerjasama dalam skim Jaminan Borong (WG) untuk tahun kelima, dengan menawarkan pembiayaan tidak bercagar baharu bernilai RM250 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk 12 bulan akan datang.

Pembiayaan ini akan menjadikan jumlah yang diagihkan sehingga pertengahan tahun depan kepada RM1.64 bilion.

OCBC Malaysia terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan anak syarikat milik penuhnya OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin).

Sebelum ini, OCBC Malaysia sudah menyalurkan RM1.39 bilion dalam bentuk pembiayaan tidak bercagar menerusi skim kerjasama tidak bercagar dengan CGC, khususnya dalam industri termasuk peruncitan, pemborongan dan pembuatan.

Tranche pertama disediakan pada April 2014 menerusi OCBC Al-Amin.

Daripada tranche RM250 juta yang terbaharu, RM200 juta disalurkan oleh OCBC Bank dan RM50 juta oleh OCBC Al-Amin, yang akan diagihkan kepada 1,000 akaun PKS.

Antara ciri WG ialah nisbah risiko pembiayaan dikongsi bersama antara CGC dan OCBC Malaysia untuk tempoh jaminan empat tahun.

Tanpa perjanjian ini, seluruh risiko ditanggung oleh pihak bank.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata Skim WG melepaskan OCBC dan OCBC Al-Amin daripada beban modal di bawah Basel II dan pada masa sama memberikan jaminan tambahan terhadap pendedahan kepada PKS tempatan.

“Ini seterusnya membolehkan OCBC dan OCBC Al-Amin menyediakan pembiayaan kepada lebih banyak PKS,” katanya dalam satu kenyataan.

OCBC Malaysia, pada mulanya menerusi OCBC Al-Amin, menjadi penggerak utama inisiatif untuk menyediakan pembiayaan tidak bercagar apabila memperkenalkan OCBC Al-Amin Business Cash-i (BC-i) pada 2014.

Ia menjadi jaminan borong PKS pertama di negara ini sebagai tindak balas kepada hasil tinjau selidik Jabatan Perangkaan yang melaporkan 55 peratus daripada responden PKS menyatakan bahawa kekurangan modal ialah halangan paling besar untuk mendapatkan pembiayaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin, berkata bank berminat untuk menyediakan tranche baharu WG seiring permintaan semakin bertambah daripada PKS untuk pilihan pembiayaan tidak bercagar bagi memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan jangka pendek hingga pertengahan.

Berita Harian X