Rabu, 3 Julai 2019 | 3:58pm
Keuntungan suku kedua Samsung Electronics dijangka berkurangan lebih separuh. - Foto AFP
Keuntungan suku kedua Samsung Electronics dijangka berkurangan lebih separuh. - Foto AFP

Untung suku kedua Samsung Electronics berkurangan ekoran kemelut Huawei

SEOUL: Keuntungan suku kedua Samsung Electronics dijangka berkurangan lebih separuh apabila ia melaporkan pendapatan awalnya Jumaat ini, demikian menurut data.

Pengurangan itu ekoran penurunan dalam penghantaran cip memori ke syarikat China, Huawei yang juga memburukkan lagi harga yang dibelenggu masalah bekalan.

Laporan suku tahunan itu bakal menjadi prestasi paling rendah buat syarikat Korea Selatan itu dalam tempoh hampir tiga tahun, dengan prospek pemulihan pendapatan masih memerlukan tempoh beberapa suku akan datang kerana tempoh lebihan penawaran terus berlarutan, di tengah-tengah kelembapan yang lebih meluas dalam pasaran teknologi, kata penganalisis.

Pembekal terbesar dunia untuk cip memori DRAM dan NAND itu juga adalah pembuat telefon pintar terbesar di dunia, sebuah pasaran di mana pelanggan cip, Huawei menduduki tempat kedua.

Syarikat-syarikat di seluruh dunia telah dipaksa untuk mengehadkan perniagaan dengan Huawei bagi mematuhi sekatan perdagangan Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat yang dianggap oleh Washington mempunyai risiko keselamatan.

"Berapa banyak Huawei akan menggunakan cip pada masa hadapan pastinya menjadi faktor perubahan harga,” kata penganalisis, Jay Kim di Sangsangin Investment & Securities.

"Apabila tidak ramai peserta yang boleh membeli cip selain Huawei, maka Samsung terpaksa memotong harga untuk menjualnya."

Walaupun pendapatan cip berkurangan ekoran pengurangan permintaan oleh Huawei, perniagaan telefon pintar Samsung Electronics Co Ltd mungkin mendapat manfaat daripada penurunan sebanyak 40 peratus dalam jualan antarabangsa telefon bimbit Huawei.

Bagaimanapun, setakat ini, Huawei Technologies Co Ltd mempunyai sokongan yang cukup kuat dalam pasaran di negara sendiri, yang adalah pasaran telefon pintar terbesar di dunia untuk mengekalkan ranking globalnya.

Malah, menjual cip adalah keuntungan Samsung yang paling banyak - lebih dua pertiga - dan pasaran telefon pintar yang tepu serta permintaan yang jatuh dari pusat data telah menurunkan harga.

Harga untuk cip DRAM, yang menyediakan peranti dengan ruang kerja sementara dan membenarkan mereka melakukan pelbagai tugas, tidak mungkin pulih pada separuh kedua tahun ini, kata penganalisis, Avril Wu di syarikat penyelidik teknologi, TrendForce.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi, adalah sukar untuk Samsung menghabiskan inventorinya sehingga separuh pertama 2020.

TrendForce menganggarkan harga DRAM dalam tempoh tiga bulan hingga Jun jatuh 25 peratus. Bulan lalu, ia menurunkan unjuran untuk suku Julai-September kepada penurunan sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus daripada 10 peratus sebelum ini. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X